Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fenomena Blood Moon bakal muncul hujung minggu ini

    PARIS, 4 SEPT – Peminat astronomi berpeluang menyaksikan fenomena Blood Moon pada malam Ahad ini, semasa gerhana bulan penuh yang boleh dilihat di seluruh Asia serta sebahagian besar Eropah dan Afrika.

    Apabila matahari, bumi dan bulan berada pada satu garis lurus, bayang-bayang bumi akan menutupi bulan hingga menyebabkan ia kelihatan berwarna merah pekat, satu fenomena yang telah mempesonakan manusia sejak ribuan tahun.

    Penduduk di Asia, termasuk India dan China, merupakan yang paling berpeluang menyaksikan gerhana penuh pada Ahad, yang turut boleh dilihat di bahagian timur Afrika serta di barat Australia.

    Gerhana bulan penuh itu akan berlangsung dari jam 5:30 hingga 6:52 petang.

    Pemerhati langit di Eropah dan Afrika akan berpeluang menyaksikan sebahagian gerhana ketika bulan mula terbit pada awal malam, manakala benua Amerika tidak akan dapat menyaksikannya.

    Gambar ini menunjukkan fasa Bulan penuh (kiri ke kanan), dikenali sebagai Blood Moon yang dirakam dari Villa de Leyva, di wilayah Boyaca, Colombia pada 14 Mac. – AFP

    Bulan kelihatan merah ketika gerhana bulan kerana hanya cahaya matahari yang melalui atmosfera bumi yang dipantulkan pada bulan, jelas ahli astrofizik Ryan Milligan dari Queen’s University Belfast, Ireland Utara.

    Tidak seperti gerhana matahari yang memerlukan cermin mata khas atau projektor lubang jarum untuk pemerhatian selamat, gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar selagi cuaca cerah dan berada di lokasi yang sesuai.

    Gerhana bulan penuh terakhir berlaku pada Mac tahun ini, manakala sebelumnya pada 2022.

    Manakala, satu lagi gerhana matahari penuh yang jarang berlaku, apabila Bulan menghalang cahaya matahari sepenuhnya, akan dapat dilihat di sebahagian kecil Eropah pada 12 Ogos tahun hadapan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda