Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fenomena ‘Blood Moon’ hiasi langit Asia, Eropah

    PARIS, 8 SEPT – Para pemerhati bintang menyaksikan fenomena Blood Moon pada malam kelmarin, semasa gerhana bulan penuh yang dapat disaksikan di seluruh Asia serta sebahagian Eropah dan Afrika.

    Apabila Matahari, Bumi dan Bulan berada sebaris, bayangan Bumi yang jatuh ke satelitnya membuatkan bulan kelihatan merah pekat, sebuah fenomena yang mengagumkan manusia sejak beribu tahun dahulu.

    Penduduk Asia, termasuk India dan China, berada pada kedudukan terbaik untuk melihat gerhana penuh kali ini, yang juga dapat disaksikan di bahagian timur Afrika serta Australia Barat.

    Pemerhati bintang di Eropah dan Afrika juga sempat menyaksikan gerhana separa sejurus bulan terbit pada awal malam, manakala benua Amerika terlepas fenomena itu.

    Bulan kelihatan merah ketika gerhana kerana hanya cahaya matahari yang dipantulkan dan dibiaskan melalui atmosfera Bumi sampai ke permukaan bulan, kata ahli astrofizik Ryan Milligan dari Queen’s University Belfast, Ireland Utara.

    Gelombang cahaya biru lebih pendek berbanding cahaya merah, maka ia lebih mudah berselerak ketika melalui atmosfera Bumi, katanya kepada AFP.

    “Itulah yang memberikan bulan warna merah darah,” katanya.

    Gambar ini menunjukkan Bulan yang semakin gelap ketika gerhana bulan di Schoenefeld, berhampiran Berlin, Jerman pada 7 September. – AFP

    Tidak seperti gerhana matahari yang memerlukan kaca mata khas atau projektor lubang jarum untuk disaksikan dengan selamat, gerhana bulan hanya memerlukan cuaca yang cerah serta berada di lokasi yang tepat.

    Fenomena penuh itu, yang pertama kali kelihatan di tanah besar Eropah sejak 2006, hanya boleh dilihat di Sepanyol dan Iceland, manakala negara lain akan menyaksikan gerhana separa yang ketara.

    Di Sepanyol, gerhana penuh akan kelihatan dalam jalur kira-kira 160 kilometer antara Madrid dan Barcelona, tetapi kedua-dua bandar itu tidak akan menyaksikan fenomena sepenuhnya, kata Milligan.

    Ia akan menjadi gerhana matahari penuh pertama sejak fenomena serupa melintasi Amerika Utara pada April 2024. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda