GENEVA, 4 JULAI – Fenomena cuaca El Nino, yang mencetuskan suhu global yang lebih tinggi, dijangka berterusan sepanjang 2023 dan ‘sekurang-kurangnya akan mencatat kekuatan sederhana’, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
El Nino ialah corak iklim yang berlaku secara semula jadi yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia, serta kemarau di beberapa kawasan dunia dan hujan lebat di tempat lain.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS menyalurkan maklumat kepada Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) PBB, bahawa pihaknya mengisytiharkan permulaan keadaan El Nino pada hari ini, dengan mengatakan terdapat kebarangkalian 90 peratus fenomena itu berterusan hingga separuh kedua 2023.
“Permulaan El Nino akan meningkatkan kemungkinan pemecahan rekod suhu dan mencetuskan haba melampau di banyak bahagian dunia dan di lautan,” kata Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas.
“Pengisytiharan El Nino oleh WMO merupakan isyarat kepada kerajaan di seluruh dunia untuk menggerakkan persediaan demi mengehadkan kesan terhadap kesihatan, ekosistem dan ekonomi kita.
“Amaran awal dan tindakan jangkaan kejadian cuaca ekstrem yang dikaitkan dengan fenomena iklim utama ini adalah penting untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian,” tambahnya. – AFP
