Fenomena Iridescence di Brunei

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Orang ramai khususnya yang berada di sekitar kawasan Rimba, Gadong telah berpeluang untuk menyaksikan fenomena cuaca yang jarang disaksikan di Negara Brunei Darussalam yang dinamakan Iridescence, di mana mereka menyaksikan warna-warna muncul pada awan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), di sini, hari ini, fenomena cuaca itu telah diperhatikan pada 4 Jun lalu sekitar pukul 6 petang di kawasan Rimba, Gadong.

Kenyataan menjelaskan, Iridescence ialah warna-warna yang muncul pada awan, ada kalanya warna-warna itu bercampur dan kadangkalanya terjadi dalam bentuk jalur hampir selari dengan batas awan di mana warna hijau dan merah jambu pastel paling kerap dilihat.

Iridescence yang sering kalinya cerah, menyerupai warna yang terdapat pada ibu mutiara (mother of pearl). Dalam jarak sekitar 10 darjah dari matahari, belauan (diffraction) adalah penyebab utama fenomena cuaca itu.

Jika ia melebihi 10 darjah, gangguan biasanya merupakan faktor utama. Iridescence dapat memanjang hingga sudut melebihi 40 darjah dari matahari dan bahkan pada jarak sudut ini, warnanya mungkin lebih cerah.

BDMD dalam kenyataan menjelaskan lanjut bahawa fenomena itu jarang dilihat di Brunei Darussalam di mana ia cenderung berlaku semasa cuaca baik disertai dengan beberapa awan tinggi.

Fenomena cuaca Iridescence berlaku di awan Cirrostratus terbuat daripada kristal-kristal ais kecil yang menyebarkan cahaya.

Jabatan berkenaan mengalu-alukan para penggemar awan untuk mengongsi koleksi gambar-gambar awan dengan jabatan berkenaan melalui laman media sosial, Facebook atau Instagram @bruneiweather.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pelbagai awan yang dicerap di Brunei Darussalam, mereka boleh menghantar e-mel menerusi [email protected] dan juga boleh menghubungi peramal cuaca melalui Talian Cuaca 114 untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai cuaca.

Fenomena cuaca, Iridescence yang diperhatikan di kawasan Rimba, Gadong pada 4 Jun lalu. – Gambar serahan BDMD