SAO PAULO, 30 MEI – Video yang memaparkan detik-detik penuh emosi dengan anak patung hiper-realistik yang kelihatan seolah-olah hidup telah menjadi tular dan mencetuskan debat politik di Brazil kemungkinan melibatkan undang-undang.
Pempengaruh telah menyebarkan pelbagai konten termasuk simulasi kelahiran serta bersiar-siar di pusat membeli-belah dengan figura anak damit buatan tangan tersebut atau lebih dikenali sebagai anak patung reborn.

Di Rio de Janeiro, majlis bandar raya hampir meluluskan rang undang-undang yang membenarkan mereka membuat anak patung tersebut sebahagian daripada kehidupan mereka.
Sementara itu, penggubal undang-undang di tempat lain telah membahaskan denda bagi mereka yang cuba mendapatkan bantuan perubatan untuk anak patung tersebut, berikutan video menunjukkan seorang wanita ‘membawanya’ ke hospital.
Pada hari Selasa, Joao Luiz, seorang penggubal undang-undang negeri dari Amazonas, muncul dengan anak patung di Dewan Negara untuk mengumumkan rancangan untuk melarang anak patung reborn daripada menerima penjagaan dalam sistem kesihatan awam negeri itu. Bagaimanapun, media tempatan melaporkan pihak berkuasa kesihatan tidak pernah merekodkan sebarang kes sedemikian.
Minggu lalu, anggota kongres Taliria Petrone mengkritik perhatian yang diberikan oleh rakan-rakannya terhadap isu itu. “Bolehkah kita memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting? Jika seseorang ingin memiliki anak patung, biarkan mereka. Saya mempunyai dua anak kandung dan telah pun ada banyak kerja,” katanya.
Sementara itu, puluhan ibu kepada anak reborn berkumpul di Taman Villa Lobos, di Sao Paulo untuk pertemuan tahunan ke-10. Masing-masing membawa ‘anak-anak jagaan’ mereka dan berbual-bual dan berkongsi cerita seperti para ibu.

Anak patung hiper-realistik sering digunakan untuk terapi kesedihan atau amalan keibubapaan.
Berenice Maria, pembantu jururawat dan juga seorang pengumpul yang telah memiliki lapan anak patung reborn berkata ia menawarkan keselesaan emosi. “Saya suka ‘mereka’ walaupun (banyak) kebencian yang kita lihat di luar sana,” katanya. “Saya mahukan hak untuk keluar bersama mereka. Pergi pusat membeli-belah, pergi ke taman.”

Daniela Baccan, pemilik bersama kedai anak patung berkenaan di Campinas, Sao Paulo, berkata ia dijual daripada 700 reais (AS$124) kepada hampir 10,000 reais (hampir AS$1,800).

Dengan kontroversi anak reborn yang semakin meningkat, kebimbangan keselamatan juga semakin meningkat. “Kami memasang lebih banyak kunci dan kamera,” kata Baccan. “Tetapi pada masa yang sama, permintaan dalam talian juga telah meningkat dan hasil jualan yang lebih tinggi.” – AP


