Tersingkir awal daripada program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), bukan penghalang buat penyanyi kelahiran Singapura, Ferhad untuk terus menyumbang suara dalam lapangan seni muzik tempatan.
Bahkan, lelaki berusia 46 tahun itu dalam perancangan membikin single terbaharu berjudul Definisi Cinta yang dijangka dilancarkan pada Februari tahun hadapan.
Pelantun lagu Kasih Berubah itu memberitahu program GV4 merupakan platform terbaik dalam meraih publisiti apabila sudah lama tidak mengeluarkan album dan single terbaharu.
“Sebelum menyertai program berkenaan, saya masih lagi aktif dalam dunia muzik tanah air. Begitupun, saya lebih banyak terlibat dalam memenuhi undangan majlis-majlis korporat dan makan malam.
Diajak berbicara mengenai single baru berjudul Definisi Cinta, kata Ferhad menerusi karya tersebut dia pertama kali menggunakan khidmat komposer lain.
“Ini merupakan kali pertama saya menggunakan khidmat komposer untuk menggubah lagu. Sebelum ini, saya akan menggubah sendiri lagu tetapi berlainan kali ini kerana ingin memberi peluang kepada komposer baharu.
“Saya tertarik dengan gubahan melodi dan lirik lagu berkenaan. Lagu berjudul Definisi Cinta ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh seorang rakan, Irma Shida Abu Samah,” katanya.
Kali terakhir bapa kepada dua cahaya mata itu mengeluarkan lagu adalah pada tahun 2014 berjudul Selamat Tinggal untuk program Maharaja Lawak Mega.
Dia memberitahu artis perlu memiliki single untuk terus relevan dalam industri terutama apabila platform media sosial semakin diguna pakai dalam mempromosi hasil-hasil karya.
“Saya berasa ini merupakan masa yang sesuai untuk menghasilkan single baharu. Sebagai penyanyi, kita perlu menerima hakikat dan perubahan bahawa media baharu banyak memainkan peranan dalam memperkenalkan sesuatu produk.