KUCHING, 31 Julai – Kerajaan Sarawak akan menghapuskan bayaran perkhidmatan feri di seluruh negeri ini tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ketika mengumumkan perkara itu pada Majlis Ketua Menteri Abg Jo Bersama Media di sini, hari ini, katanya beliau akan mengumumkan kemudian tarikh penguatkuasaan penghapusan bayaran tersebut.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri Sarawak bagi meringankan beban rakyat di luar bandar yang bergantung pada perkhidmatan feri.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut mengumumkan kerajaan negeri memberi potongan premium tanah sebanyak 50 peratus untuk projek perumahan di kawasan penempatan semula yang baharu.
Selain itu, katanya kerajaan juga akan menanggung kos menambak tanah dan pembangunan kemudahan infrastruktur di tapak penempatan semula berkenaan dan pembeli hanya perlu membayar kos rumah.

Ketua menteri juga berkata bahawa hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat Pakatan Harapan adalah baik, malah katanya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memuji pentadbiran kerajaan negeri yang berjaya membawa pembangunan pesat di negeri ini.
Katanya, dalam pertemuan dengan Dr Mahathir mereka berbincang tentang dasar-dasar yang baik dan kerjasama dua hala.
Dalam sesi soal jawab kemudiannya, Abang Johari berkata kerjaaan negeri tidak bersetuju dengan tawaran pembayaran 20 peratus daripada keuntungan bersih penjualan hasil minyak yang dikeluarkan di negeri ini.
Menurutnya, pihak Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) masih dalam proses rundingan berhubung perkara itu dan menegaskan beliau tidak mahu ia menjadi isu politik.
“Kita serahkan kepada pihak profesional antara Petros dan Petronas untuk berbincang bagi menyelesaikan perkara ini kerana saya mahu melihat bagaimana Sarawak boleh terlibat dalam industri minyak dan gas kita sendiri dan bagaimana sumber di negeri kita sendiri dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi negeri kita,” tegas beliau.
Sementara itu, Abang Johari berkata projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini yang dicadangkan sebelum ini hanya akan dilaksanakan di laluan yang perlu sahaja memandangkan kerajaan negeri terpaksa memberi tumpuan pada kemudahan yang lebih kritikal seperti projek pembekalan air paip di kawasan luar bandar.
Beliau berkata apa yang penting Sarawak sudah mempunyai pelan induk projek LRT dan pelaksanaannya bergantung pada keperluan semasa.
Katanya, kerajaan negeri akan membelanjakan RM2 bilion untuk pelaksanaan projek pembekalan air di seluruh negeri termasuk di luar bandar dan pedalaman bagi kegunaan di rumah kediaman, komersial dan kilang. – Bernama