TERNATE, INDONESIA, 30 MEI – Pasukan penyelamat melakukan misi pencarian ke atas seorang individu selepas menyelamatkan semua penumpang dari feri besar yang terbakar di Indonesia, kata pegawai hari ini.
KM Karya Indah sedang membuat perjalanan ke Sanana, sebuah pelabuhan terpencil di timur laut kepulauan Indonesia apabila ia terbakar.
Sejurus berlepas, feri itu terbakar, memaksa penumpang dan kru terjun ke laut untuk menyelamatkan diri. Tidak ada mangsa korban dilaporkan.
“Seramai 275 penumpang di dalamnya, 274 berjaya diselamatkan,” kata Muhammad Arafah, ketua pasukan mencari dan menyelamat memberitahu Kompas TV hari ini.
“Seorang lelaki berusia 43 tahun masih lagi dicari,” tambahnya lagi bahawa seramai 35 penumpang adalah kanak-kanak.
Puluhan penyelamat masih lagi mencari orang hilang di kawasan tersebut.
Imej-imej yang dikongsi oleh agensi pencari dan penyelamat menunjukkan feri besar diselubungi asap hitam tebal sementara para penumpang memakai jaket keselamatan diselamatkan menggunakan bot getah.
Lebih belasan kru bot itu telah ditahan dan disoal siasat oleh polis tempatan untuk memastikan punca kebakaran. – AFP
