Feri terbakar, Puluhan hilang

JAKARTA, 23 OGOS – Lebih 20 orang hilang dari bahagian utama rangka feri yang terbakar di pulau Jawa di Indonesia, kata seorang pegawai pelabuhan hari ini.

Kapal berkenaan sedang dalam perjalanan dari bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya ke Balikpapan di pulau Borneo dengan membawa kira-kira 277 orang dalam feri ketika tragedi itu berlaku pada petang kelmarin, menurut pegawai.

Imej televisyen menunjukkan asap hitam keluar dari kapal berkenaan, ketika pasukan pencarian melancarkan operasi pencarian sekurang-kurangnya 22 penumpang yang hilang.

“Terdapat 277 orang di atas kapal dan sejauh ini seramai 255 telah diselamatkan,” kata jurucakap pelabuhan Tanjung Perak di Surabaya, Syachrul Nugroho.

“Dua puluh dua orang masih belum dimasukkan dalam bilangan… tetapi kami tidak tahu sama ada mereka masih berada di atas kapal.”

Punca kemalangan itu tidak begitu jelas.

Nugroho berkata, kapal tersebut terbakar dan tenaga kuasa kapal berkenaan menurun.

“Kru tidak dapat memadamkan kebakaran kerana pam air tidak berfungsi sehingga penumpang mula meninggalkan kapal itu,” katanya.

Feri penumpang adalah cara pengangkutan yang biasa di Indonesia, sebuah kepulauan yang terdiri daripada kira-kira 17,000 pulau, meskipun piawaian keselamatannya adalah kurang baik. – AFP

Anggota keluarga penumpang feri yang terbakar, menunggu untuk menerima maklumat mengenai saudara-mara mereka di Pelabuhan Tanjung Perak di Surabaya, Jawa Timur kelmarin. – AFP