MANILA, 28 OGOS – Tiga orang terkorban manakala lebih 240 berjaya diselamatkan di selatan Filipina hari ini selepas kebakaran melanda sebuah feri yang penuh sesak, kata pihak berkuasa, ketika para penyelamat masih lagi mencari mangsa-mangsa.
Kebakaran itu meletus sebelum Subuh ketika Lite Ferry 16 membuat perjalanan ke Bandar Dapitan dari Cebu sehinggakan beberapa penumpang terpaksa terjun ke dalam laut, kata salah seorang saksi.
Masih belum jelas berapa ramai penumpang dalam kapal tersebut namun Pengawal Pantai Filipina berkata setakat ini 245 orang telah diselamatkan dan tiga disahkan meninggal dunia.
Daftar rasmi bot itu menyenaraikan hanya 172 penumpang dan kru.
Jurucakap Pengawal Pantai, Kapten Armand Balilo berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan ketika pihak berkuasa berusaha untuk memastikan jumlah sebenar penumpang yang menaiki bot tersebut.
“Kami telah mengarahkan kapten untuk menjelaskan percanggahan,” kata Balilo kepada AFP. Operator feri, Danilo Lines berkata sebuah pasukan telah dikerahkan untuk membantu menyelamatkan para penumpang dan kapal tunda untuk membawa balik feri malang itu ke pelabuhan. – AFP/AP
