LONDON, 29 JAN – Meski tercicir dari tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas di halaman sendiri kepada pasukan tercorot, Sheffield United, kelmarin, Manchester United tetap memburu gelaran liga dengan bantuan Bruno Fernandes yang menjadi pemain penting sejak beliau tiba di Old Trafford 12 bulan lalu.
Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer akan berkunjung ke Arsenal pada Ahad ini setahun selepas pemain tengah Portugal itu menyertai United yang mana ketika itu mereka ketinggalan 30 mata di belakang pendahulu liga di tangga kelima.
Sebelum ini sokongan peminat terhadap Solskjaer semakin merosot berikutan kekalahan 2-0 kepada Burnley dalam perlawanan terakhir liga United sebelum kedatangan Fernandes di Old Trafford.
Sepanjang 52 penampilannya, pemain berusia 26 tahun itu sudah menjaringkan 28 gol dan 18 assists, sekali gus menyamakan legenda United, Eric Cantona yang menjadi pemain penting untuk mengubah nasib United suatu ketika dahulu.
Sepanjang tahun lalu, tidak ada pasukan yang memperoleh lebih banyak mata di EPL berbanding United.

Walau bagaimanapun, Fernandes telah membuat impak besar.
Bagi pasukan yang benar-benar terdesak memerlukan seorang ketua, kehadiran bekas kapten Sporting Lisbon itu sememangnya amat tepat.
“Saya tidak melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana mahu dilihat sebagai seorang ketua. Ia adalah perkara semula jadi dan merupakan sebahagian dari permainan saya,” jelas Fernandes.
“Bagi saya perkara paling penting adalah untuk membantu setiap orang dengan suara dan tenaga saya. Setiap yang saya lakukan hanyalah untuk membantu pasukan.”
Dia akan berasa kecewa jika tidak diturunkan atau digantikan oleh Solskjaer.
Tetapi ia juga merupakan pemain cemerlang yang telah hilang dari United dalam tempoh lapan tahun sejak bekas pengurus legenda Alex Ferguson bersara.
“Dia tidak pernah gembira apabila saya memberitahunya untuk tamatkan sesi latihan terutamanya apabila beraksi keesokannya.
“Fernandes akan kekal berlatih selama 45 minit lagi selepas selesai sesi latihan untuk berlatih melakukan sepakan percuma. Jadi saya yakin dia mampu melaksanakan tugas itu jika diberi peluang,” kata Solskjaer. – AFP