LONDON, 3 JUN – Bruno Fernandes dilaporkan telah menolak tawaran lumayan untuk berhijrah ke Liga Pro Saudi, sebaliknya memilih untuk menyertai projek pembinaan semula Ruben Amorim di Old Trafford.
Menurut laporan media UK, kelab gergasi Arab Saudi Al Hilal bersedia untuk membayar sehingga £100 juta (AS$135 juta) kepada United bagi mendapatkan pemain tengah antarabangsa Portugal berusia 30 tahun itu, walaupun masih belum membuat tawaran rasmi.
United kini sedang bergelut selepas menamatkan musim ini dengan kedudukan ke-15, pencapaian paling buruk dalam era Liga Perdana. Mereka turut tewas dalam final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur di Bilbao bulan lalu.

Fernandes, yang juga kapten pasukan, merupakan antara satu-satunya pemain yang cemerlang dalam musim mengecewakan itu, menjaringkan 19 gol dan 19 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.
Bercakap selepas kekalahan di final tersebut, Fernandes tidak menolak kemungkinan akan berpindah, “Jika kelab rasa sudah tiba masanya untuk berpisah, mungkin kerana mereka mahu jana kewangan dan sebagainya, saya faham. Kadangkala bola sepak memang begitu,” katanya.
Namun spekulasi perpindahan itu reda selepas pengurus baharu Ruben Amorim menyatakan keyakinannya bahawa Fernandes akan terus kekal di Old Trafford.
Bekas kapten United dan kini penganalisis Sky Sports, Gary Neville, menyifatkan keputusan Fernandes sebagai ‘perkembangan besar’ bagi kelab, “Memang benar, dari sudut kewangan, menjual Bruno pada usia ini dengan jumlah sebegitu bukanlah sesuatu yang buruk,” kata Neville.
“Tetapi dalam masa yang sama, kita bercakap tentang pemain bintang United – mungkin satu-satunya pemain penting sejak empat, lima, enam tahun lalu. Bruno Fernandes terlalu bernilai untuk dilepaskan.” – AFP