Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fernandez raih kemenangan pertama MotoGP di Australia

    PHILLIP ISLAND, 19 OKT – Raul Fernandez dari Sepanyol telah berjaya meraih kemenangan sulung MotoGP di Australia hari ini dalam perlumbaan ke-76 beliau, manakala Alex Marquez telah menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk mengukuhkan peluangnya menamatkan musim di tempat kedua dalam kejuaraan dunia.

    Semasa perlawanan yang berlangsung di Phillip Island, pelumba Aprilia-Trackhouse telah mengambil kesempatan daripada dua penalti long lap yang dikenakan terhadap Marco Bezzecchi yang sedang memecut laju, untuk menamatkan perlumbaan 1.418 saat (s) di hadapan Fabio Di Giannantonio dari pasukan Ducati.

    Pelumba Aprilia, Bezzecchi yang memenangi perlumbaan pecut 13 pusingan kelmarin telah menduduki tempat ketiga dengan ketinggalan 2.410s, melengkapkan kedudukan podium.

    Di samping itu, pelumba Pedro Acosta dari KTM berada di tempat kelima diikuti oleh Luca Marini (Honda) dan Alex Rins (Yamaha), manakala pelumba muda Sepanyol, Fermin Aldeguer, juara MotoGP di Indonesia dua minggu lalu telah menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.

    “Saya tidak percaya,” kata Fernandez dari Sepanyol yang sebelum ini tidak pernah menaiki podium.

    “Pasukan saya tidak pernah berhenti menyokong saya dan ini adalah hasil kerja keras. Saya berjaya mengawal tayar belakang sepanjang perlumbaan. Lima pusingan terakhir terasa sangat panjang. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya,” ujarnya.

    Fernandez yang bermula di petak keempat mencuri tumpuan, manakala Marquez hampir pasti mengesahkan kedudukan naib juara di belakang abangnya, Marc yang mengalami kecederaan, dengan baki tiga perlumbaan musim ini.

    Kedudukan keempat yang diraih pelumba Gresini dari Sepanyol itu memberinya 13 mata untuk berada 97 mata di hadapan Bezzecchi, dengan maksimum 111 mata masih dipertaruhkan dalam tiga perlumbaan terakhir musim 22 pusingan di Malaysia, Portugal dan Sepanyol.

    Juara dunia dua kali dari Ducati, Francesco Bagnaia, terbabas dengan empat pusingan berbaki, menutup hujung minggu yang kurang baik baginya. – AFP

    Raul Fernandez meraikan kemenangannya selepas menjuarai Grand Prix MotoGP Australia di Phillip Island pada 19 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda