MADRID, 9 Mei – Pemain Sepanyol, David Ferrer mengakhiri karier tenisnya selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Jerman, Alexander Zverev di pusingan kedua Terbuka Madrid awal hari ini.
Kekalahan 4-6, 1-6 pada perlawanan dan kejohanan terakhirnya sebelum bersara itu menyekat hajat Ferrer, 37, untuk menutup tirai kariernya dengan bergaya di sini selepas pernah meraih 27 gelaran ATP dan pencapaian terbaik menduduki ranking ketiga dunia.
“Saya tidak mampu lagi memberi lebih daripada itu kepada sukan tenis ini. Saya tidak tahu apa legasi yang telah saya tinggalkan setakat ini tetapi saya telah cuba yang terbaik dengan tidak pernah mengalah dengan mudah,” katanya.
Walaupun tidak pernah mengecapi kejuaraan Grand Slam dalam kariernya, Ferrer yang dikenali dengan semangat melawan tinggi hampir melakukannya dengan berjaya layak ke final Terbuka Perancis 2014 selain lima kali ke separuh akhir.
Bagi meraikan persaraannya pada perlawanan terakhir itu, Ferrer telah meletakkan lilitan kepalanya di atas gelanggang sebagai simbolik mengucapkan selamat tinggal kepada dunia tenis yang diceburinya sekian lama. – AFP