NEW YORK, 11 JULAI – Kumpulan Ferrero akan memperoleh syarikat pengeluar bijirin utama Amerika Syarikat (AS), WK Kellogg pada harga AS$3.1 bilion, sebagai sebahagian daripada usaha gergasi makanan Itali itu untuk terus mengembangkan operasinya di Amerika Utara, menurut pengumuman bersama kedua-dua syarikat kelmarin.
Ferrero, yang terkenal dengan produk seperti sapuan coklat Nutella dan coklat Ferrero Rocher, akan membayar AS$23 sesaham secara tunai bagi mengambil alih WK Kellogg, yang popular dengan produk seperti Rice Krispies dan Kellogg’s Frosted Flakes, antara lain.
Menurut kenyataan media bersama itu, urus niaga dijangka selesai pada separuh kedua tahun ini. Setelah selesai, WK Kellogg akan menjadi anak syarikat milik penuh Ferrero.
Harga tawaran tersebut mewakili premium sebanyak 31 peratus daripada harga penutupan saham WK Kellogg pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif Ferrero, Giovanni Ferrero menyifatkan penggabungan itu sebagai ‘penyatupaduan dua syarikat dengan generasi pengguna setia.’
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Ferrero telah memperluaskan kehadirannya di Amerika Utara. Pengumuman hari ini merupakan pencapaian penting dalam perjalanan itu dan memberikan keyakinan terhadap peluang yang bakal diteroka,” ujarnya.
Ferrero, yang diasaskan di Alba, Itali pada tahun 1946, telah melaksanakan beberapa pengambilalihan di Amerika Utara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pembelian perniagaan konfeksi Nestle di AS pada tahun 2018 pada harga AS$2.8 bilion secara tunai. – AFP
