Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Majlis penutup bagi Festival Antarabangsa Agroteknologi 2023 anjuran bersama Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan Pahang telah diadakan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pagi tadi.
Antara program yang dijalankan sempena festival berkenaan termasuk Program Pertukaran Pelajar SEAMEO; Persidangan Antarabangsa Sains Makanan dan Teknologi Agro dan Pertandingan Produk Inovasi 2023.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini ialah Persuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Tinggi Malaysia, Kamaluddin bin Daud serta Hajah Norehan binti Silek, selaku Pengarah POLISAS Malaysia.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pendidikan Teknik IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli selaku Pengerusi Festival Antarabangsa Agroteknologi 2023.
Beliau menyatakan festival seumpama ini mampu menarik minat para belia dan pelajar-pelajar untuk menjadi pelapis kepada petani yang sedia ada, kerana tanpa ada generasi pelapis besar kemungkinan industri pertanian dunia dan bekalan makanan akan terjejas.
Beliau juga menekankan pertanian moden dalam era Revolusi Industri 4.0 di mana penggunaan teknologi semasa seperti dron dan mesin pertanian moden mampu menjadikan pertanian lebih menarik kepada golongan muda.
Selain itu, program seperti pertandingan produk inovasi juga dapat mencungkil bakat kreativiti para pelajar dalam menghasilkan produk yang inovatif dalam sektor pertanian di samping meningkatkan kesedaran para belia tentang kepentingan inovasi dalam pertanian demi memastikan sekuriti makanan berdaya saing dan mampan.
Majlis penutup diteruskan dengan penyampaian sijil kepada peserta yang mengikuti Kumpulan Kedua Program Pertukaran Pelajar SEAMEO antara IBTE dan POLISAS, Majlis Perwakilan Pelajar POLISAS dan IBTE diikuti penyampaian hadiah kepada pemenang Persidangan Antarabangsa Sains Makanan dan Teknologi Agro serta pemenang Pertandingan Produk Inovasi 2023.
Acara berakhir dengan bacaan doa selamat dan sesi bergambar ramai.



