Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival air simbol kestabilan Kemboja bagi pelabur, pelancong

    PHNOM PENH, 14 NOV – Kemboja berbangga dengan daya tahan, perpaduan dan kestabilannya ketika ia menganjurkan festival air tahunan hari ini, menghantar mesej kuat kepada dunia bahawa kerajaan itu adalah destinasi selamat dan mesra untuk pelabur serta pelancong.

    Sambutan tiga hari itu yang menarik lebih lima juta pelancong tempatan dan asing tahun lepas menandakan kemakmuran Kemboja yang semakin meningkat dalam persekitaran yang aman, sekali gus menepis dakwaan beberapa pengkritik bahawa negara itu tidak selamat untuk warga asing.

    Dua hari sebelum acara mega itu, Perdana Menteri Hun Manet memastikan Kemboja telah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan pelancong.

    “Saya menggalakkan pelancong domestik dan antarabangsa kami di sini untuk membantu berkongsi kebenaran tentang Kemboja kepada rakan, rakan sekerja dan keluarga awda serta menjemput mereka melawat dan meneroka Kemboja sendiri.

    “Kemboja amat mengalu-alukan semua pelawat asing, sama ada untuk pelaburan, pelancongan atau pendidikan dan memberi jaminan kepada mereka bahawa negara ini benar-benar selamat untuk lawatan mereka,” kata Manet seperti yang dilaporkan oleh Fresh News.

    Pertunjukan berwarna-warni yang dipamerkan akan mendominasi latar langit Phnom Penh untuk tiga hari akan datang ketika rakyat Kemboja dari wilayah luar bandar berkumpul di ibu negara untuk meraikan festival itu, yang turut dikenali sebagai “Bon Om Touk” dalam bahasa tempatan.

    Mengikut tradisi, acara itu diadakan pada akhir Oktober atau awal November, menandakan berakhirnya musim hujan dan permulaan musim menuai.

    Kemuncak festival itu ialah perlumbaan perahu, dengan kira-kira 350 perahu dijangka menyertai sambutan tahun ini di Sungai Tonle Sap yang menghubungkan Tasik Tonle Sap dan Sungai Mekong. Sepanjang festival itu, kerajaan mempamerkan kepelbagaian tradisi, budaya yang kaya dan kemodenan yang semuanya mewarnai kehidupan setiap rakyat Kemboja dan memukau warga asing. – Bernama

    Para peserta mendayung perahu naga semasa latihan untuk Pesta Air Kemboja di sungai Tonle Sap di Phnom Penh, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda