Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Azuma Odori hidupkan tradisi geisha

    TOKYO – Geisha berjalan cepat dengan langkah teratur melintasi pentas kayu, menawarkan gambaran sekilas tentang tradisi yang telah lama disalah fahami yang menjadi pemandangan luar biasa di Jepun.

    Menari dengan kipas kertas dan berpakaian kimono, penghibur berlatih tanpa solekan putih pucat yang terang dan gaya rambut didandan kemas yang terkenal dengan penampilan mereka.

    Namun selama tujuh hari, wanita-wanita berkenaan akan membuat persembahan dengan penuh meriah di festival Azuma Odori yang berusia 100 tahun di sebuah teater di tengah-tengah ibu negara Jepun.

    Dalam imaginasi popular orang ramai, geisha sering dikelirukan dengan pelacur, tetapi sebenarnya kerja mereka – sebagai pakar terlatih bentuk seni lama – tidak melibatkan penjualan seks.

    “Penduduk Jepun sendiri sering tidak faham atau mempunyai idea yang salah tentang apa yang dilakukan geisha,” beritahu Hisafumi Iwashita, seorang penulis yang mengkhusus dalam budaya geisha, kepada AFP.

    Geisha Shinbashi sedang berlatih di Teater Shinbashi Enbujo sebelum festival Azuma Odori ke-100 di Tokyo. – AFP
    Geisha Shinbashi Koiku (kanan) semasa latihan di bawah pemerhatian pengajar sebelum edisi Azuma Odori ke-100 di Tokyo. – AFP
    Hisafumi Iwashita, penulis dan pakar geisha, menunjuk kepada cetakan blok kayu semasa ditemu bual. – AFP
    Gambar AFP

    Dalam bahasa Jepun, perkataan geisha bermaksud ‘orang seni’ – seorang wanita atau lelaki yang terlatih dalam seni pentas tradisional Jepun. Namun peranan utama geisha melangkaui ‘aktiviti menari dan menyanyi sahaja,’ kata Iwashita.

    Geisha di kawasan yang berlainan di Jepun juga terkenal dengan kemahiran yang berbeza.

    Di Kyoto, di mana mereka dipanggil geiko, ‘tarian dilihat sebagai bentuk seni yang paling penting,’ kata Iwashita.

    Sementara itu, geisha Tokyo pula terkenal dengan nyanyian dan bakat mereka dalam shamisen, yang menyerupai gitar tiga tali yang tipis.

    Tahun ini buat pertama kalinya, geisha dari 19 wilayah Jepun akan mengambil bahagian dalam acara tahunan Azuma Odori, serta mereka dari daerah Shinbashi Tokyo yang biasanya membuat persembahan.

    Kira-kira 180 geisha akan mengambil bahagian secara keseluruhan, naik ke pentas dalam kumpulan kecil untuk dua pertunjukan setiap hari.

    Koiku, seorang geisha Shinbashi, berkata tugasnya pertama sekali melibatkan ‘menyambut dan menghiburkan pengunjung di restoran tradisional yang dipanggil ryotei.’

    Kemasukan ke pertubuhan mahal dan eksklusif ini, yang ditemui di daerah geisha bersejarah yang dikenali sebagai hanamachi, adalah menerusi jemputan sahaja.

    10 TAHUN LATIHAN

    Hari ini, kira-kira 40 geisha bekerja di Shinbashi – jauh berkurangan berbanding zaman dahulu – dan kesemuanya akan hadir di Azuma Odori.

    “Tidak lama dahulu, terdapat 100 daripada kami, kemudian 60… dan jumlahnya kini terus menurun,” kata Koiku.

    Kehidupan sebagai geisha adalah sukar, dengan jadual latihan yang ketat walaupun untuk penghibur yang berpengalaman.

    “Secara umumnya, ia mengambil masa 10 tahun untuk dilihat sebagai cekap,” kata Koiku, yang terpikat disebabkan minatnya terhadap muzik dan tarian.

    Koreografi geisha, ditonton oleh pengajar mereka dan diiringi oleh pemuzik secara langsung semasa latihan, termasuk sentuhan main-main atau gurauan seperti meniru pergerakan musang.

    Adalah tidak sopan untuk bertanya umur geisha, tetapi sesetengah yang mengambil bahagian dalam persembahan itu telah membuat persembahan selama lima atau enam dekad.

    Koiku berkata dia bimbang jika tidak ada sebarang perubahan dilakukan, ia akan menjadi ‘terlambat’ untuk tradisi geisha yang semakin lenyap.

    Asal-usul Azuma Odori bermula pada era Meiji 1868-1912 di Jepun, apabila tarian mula mengambil peranan yang lebih penting dalam persembahan geisha.

    Geisha, yang akan menghiburkan pegawai kerajaan di bankuet atau jamuan, memainkan ‘peranan penting’ dalam membentuk budaya Jepun moden, menurut pakar Iwashita.

    Dia berpendapat sebab utama bilangan geisha di Jepun menurun adalah kerana mereka mempunyai kurang pelanggan.

    Sementara geisha pernah mencari nafkah daripada golongan elit kaya Jepun, pada 1993, perdana menteri ketika itu, Morihiro Hosokawa menggesa agar jamuan kerajaan di restoran ryotei dihentikan.

    Ia sekali gus memberikan ‘tamparan hebat kepada industri,’ kata Iwashita.

    Koiku bersetuju bahawa ‘dunia telah berubah’ – termasuk jenis pergaulan di mana perjanjian perniagaan masih dicari.

    “Pada masa kini, syarikat semakin kerap menganjurkan majlis resepsi di pejabat mereka atau tempat lain,” katanya.

    Teater Shinbashi Enbujo, tempat Azuma Odori akan diadakan, telah dirasmikan pada tahun 1925 dengan edisi pertama festival itu.

    Ia telah dibina semula pada tahun 1948 selepas dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua, dan persembahan mewah selepas perang mempengaruhi teater kabuki Jepun sebelum diringkaskan mengikut cita rasa penonton.

    Dengan masa depan profesion geisha yang tidak menentu, bagi Iwashita, ‘memandangkan teater sedemikian masih wujud, dan ia adalah ulang tahun ke-100 Azuma Odori, tidak ada apa-apa yang mustahil.’ – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda