BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Kementerian Pendidikan, melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum pada hari ini telah mengadakan Pertandingan Peringkat Akhir Festival Badminton Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan bagi tahun 2023.
Festival tersebut diadakan di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan dan berlangsung selama lima hari bermula dari 1 Mac 2023 hingga hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad@Mohamat Festival yang diadakan buat julung kalinya itu disertai oleh sebanyak 30 buah sekolah rendah dari seluruh negara. Antara tujuan ia diadakan adalah untuk mencungkil bakat serta mengembangkan potensi murid-murid di sekolah rendah dalam permainan badminton.
Di samping itu, ia juga merupakan platform bagi mengenal pasti murid-murid yang berpotensi tinggi dalam permainan badminton sebagai persediaan awal mewakili negara dalam acara sukan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Johan pertandingan tersebut disandang oleh pasukan dari Sekolah Rendah PB Limau Manis. Manakala naib johan dimenangi oleh pasukan dari Sekolah Rendah DRHMJ Kiarong.
Sementara itu, Sekolah Rendah Sengkurong dan Sekolah Cemerlang Abejees sama-sama menduduki di tempat ketiga.