Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival bakal ketengah budaya Jepun

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Festival Kebudayaan Jepun 2022 pada 10 dan 11 Disember ini di Pusat Beli-belah Times Square.

    Acara dua hari itu terbuka kepada orang ramai secara percuma untuk memperkenalkan budaya dan gaya hidup tradisional dan kontemporari Jepun, serta bahasa Jepun, melalui persembahan pentas dan gerai pameran.

    Persembahan dan pertunjukan termasuk demonstrasi masakan Jepun oleh Cef Fumihiro Shimizu yang merupakan cef duta, mochi (kek beras), pertandingan manga, tarian J-pop dan bengkel pencuci mulut oleh Cef Minoru Tsuruoka.

    Kawasan gerai akan menjadi tumpuan bagi semua jenis permainan dan makanan, pelajaran kaligrafi tradisional Jepun dan taklimat untuk program pertukaran belia Jepun.

    Di samping itu, empat pensyarah dari Urasenke Singapura “Tankoukai” akan membuat penampilan istimewa untuk menunjukkan upacara minum teh Jepun yang tulen.

    Tankoukai adalah pakar-pakar yang telah menyumbang kepada penyebaran budaya Jepun dengan menyampaikan keindahan sadou Jepun (upacara minum teh) serta etika yang berkaitan dengannya.

    Acara diadakan dengan kerjasama Times Square, Yayasan Jepun, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat Kementerian Pendidikan, Alumni Persatuan Brunei Jepun (BAJA), Alumni Rangkaian Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (JENESYS), Alumni Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (BERSATU) dan Persatuan Persahabatan Brunei Jepun (BJFA), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda