Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Budaya dan seni memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan jiwa dan emosi di antara rakyat serta merupakan satu ikatan yang membantu kefahaman yang lebih baik serta mendalamkan kepercayaan di antara negara-negara.
Oleh itu, Festival Budaya Visual dan Seni Brunei-China merupakan sebuah platform yang baik bagi pertukaran kebudayaan dan bagi pembelajaran serta komunikasi bersama di antara artis-artis kedua-dua buah negara.
Pelbagai bentuk artistik akan diketengahkan kepada orang ramai semasa acara dua hari itu termasuk fotografi, puisi, alat muzik tradisional, seni mempertahankan diri dan dialog di antara artis Brunei dan China, jelas Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dalam kata alu-aluannya pada perasmian Festival Budaya Visual dan Seni Brunei-China yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, Jalan Gadong, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian festival berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Sementara itu, Pengasas Huifong’s Art Gallery, Huifong Ng dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa penganjuran festival berkenaan adalah bersempena dengan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China ke-30, menerusi budaya visual dan seni yang akan mengetengahkan kepelbagaian budaya serta seni di antara penduduk kedua-dua buah negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa festival itu dibahagikan kepada dua acara di mana acara pertama merupakan pameran fotografi digital yang pertama kali diadakan di Brunei di mana ia mengandungi kira-kira 150 foto yang dikumpulkan oleh Beijing People’s Association of Friendship with Foreign Countries (BPAFFC), Foreign Affairs Office of Nanjing People’s Municipal Government dan Persatuan Persahabatan Brunei-China (BCFA).
Koleksi fotografi berkenaan mengetengahkan koleksi karya oleh jurugambar-jurugambar dari kedua-dua buah negara di bawah tema ‘Wajah dan Budaya Brunei dan Persahabatan di antara Brunei dan China’.
Acara kedua, jelasnya, merupakan pertukaran dialog seni antara artis dari kedua-dua buah negara dengan matlamat untuk bertukar-tukar idea dan meneroka kolaborasi artistik masa hadapan.
Sesi dialog itu, ulasnya lanjut, akan menyaksikan artis muda tempatan berdialog dengan artis-artis dari Beijing Art Academy di China melalui platform maya.
Festival anjuran Huifong’s Art Gallery itu meraikan kepelbagaian budaya serta seni dan persahabatan di antara rakyat Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.
Pada majlis perasmian festival yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, BPAFFC, Foreign Affairs Office of Nanjing Municipal People’s Government dan BCFA serta ditaja oleh Bank Baiduri itu, para jemputan berpeluang untuk menyaksikan persembahan kebudayaan termasuk silat, wusyu dan taici, tarian-tarian tradisional Melayu dan China serta gabungan bacaan sajak dalam Bahasa Melayu dengan demonstrasi kaligrafi.
Pameran fotografi digital pada acara itu mengetengahkan koleksi fotografi daripada BPAFFC, Foreign Affairs Office of Nanjing Municipal People’s Government, Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam dan jurugambar-jurugambar bebas Brunei.
Koleksi fotografi berkenaan dikendalikan oleh Huifong’s Art Gallery dengan pameran akan berjalan hingga 9 Ogos di Atrium, Ibu Pejabat Baiduri.
Manakala itu, dialog seni antara artis-artis jemputan dari kedua-dua buah negara akan diadakan esok di Ruang Komuniti Baiduri pada pukul 2 petang. Bagi mematuhi langkah-langkah keselamatan pandemik COVID-19, pra-pendaftaran amat digalakkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik berkata bahawa Bank Baiduri merupakan penyokong kuat persekitaran budaya dan seni tempatan sebagai sebahagian daripada rangka kerja tanggungjawab sosial korporatnya.
“Kami percaya dalam mengasuh pembangunan budaya dan seni, di mana ia merupakan pemangkin bagi pembangunan komuniti dan diri.”
Dalam hubungan itu, pihaknya berbangga untuk menyokong festival itu di mana ia mempunyai makna yang mendalam bagi komuniti Brunei dan amat berbesar-hati untuk menawarkan Ruang Komuniti Baiduri sebagai sebuah platform bagi artis-artis berpengalaman dan baru untuk mengetengahkan hasil kerja masing-masing serta terlibat sama dalam dialog kreatif.