Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Festival Filem PRISM UBD 2024 telah labuh tirai dengan majlis penyampaian anugerah bagi meraikan karya luar biasa penggiat filem muda dalam pelbagai kategori.
Pada tahun ini, kategori yang menonjol ialah tema Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang memberi tumpuan kepada isu-isu global yang kritikal seperti air bersih, pengurusan sisa, tindakan iklim dan kesaksamaan sosial.
Festival yang diiktiraf di bawah Rangkaian Universiti ASEAN mengenai Budaya dan Seni (AUN-CA) sejak 2022 itu terus mempromosikan kreativiti dan budaya dalam kalangan pelajar di rantau ASEAN.
Lebih 50 penyertaan diterima dari Brunei dan antarabangsa untuk kate-gori Public Service Announcement (PSA) SDG, yang mana festival tahun ini menekankan kuasa filem dalam meningkatkan kesedaran dan mengilhamkan tindakan terhadap kemampanan dan keadilan sosial.
Dalam kategori PSA SDG Profesional, hadiah tempat pertama sebanyak $1,500 telah dimenangi oleh Poni Divers, Brunei dengan filem Hope Beneath the Waves, menyentuh tentang keperluan mendesak untuk pemuliharaan marin dan perlindungan terumbu karang Brunei.
Manakala filem Promise of the Forest dari Animal-Pathway & Wildlife Association, Jepun mendapat tempat kedua dan membawa pulang hadiah $1,000, yang mana filem mini itu menggambarkan kepentingan pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.
Sementara filem RISE (UBD) yang meneroka krisis iklim global dan tanggungjawab kolektif untuk menangani kemusnahan alam sekitar, memenangi tempat ketiga, dengan hadiah $500.
Dalam kategori Pelajar PSA SDG pula, tempat pertama dimenangi Mitya (Visayas State University, Filipina) dengan hadiah $1,500.
Filem yang dihasilkan menyentuh hati yang menggambarkan perjuangan seorang gadis muda di sebuah komuniti luar bandar dalam memperjuangkan akses kepada air bersih.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Save Water, Save Lives (UBD), yang membawa pulang hadiah $1,000 dan Voice in the Trash (UBD) dengan hadiah $500.
Selain itu, RISE telah dianugerahkan Anugerah Pilihan Penonton, sekali gus diiktiraf sebagai filem paling popular dalam kalangan penonton festival.
Filem-filem pemenang anugerah dan pilihan video dari festival boleh ditonton di saluran YouTube Rasmi FASS UBD.