Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Lebih ramai golongan belia diharap akan dapat melibatkan diri mereka dalam meneroka dan menceburi bidang keusahawanan dengan harapan ianya dapat mengurangkan masalah pengangguran di negara ini.
Dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berdaya usaha, Majlis Belia Brunei dan Battle Pro MMS akan menganjurkan Festival Hari Belia 2017 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas selama empat hari bermula 28 September hingga 1 Oktober.
Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Festival Hari Belia 2017 tersebut telah disempurnakan hari ini oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi seterusnya dibawa mengunjungi pameran Hari Terbuka Belia dan petak-petak jualan Festival Hari Belia.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei dan Pengerusi Bersama Festival Belia Brunei 2017, Profesor Madya Dr Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai KKBS serta para usahawan festival berkenaan.
Pengasas Battle Pro MMS, Haji Syed Yassin Haji Syed Anyatullah Shah dalam kata alu-aluannya berkata Festival Hari Belia 2017 merupakan kali ketiga dilaksanakan semenjak ia mula dilaksanakan oleh Battle Pro Event pada 2014 bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang disambut setiap 1 Ogos.

Beliau menambah bahawa tema Hari Belia Kebangsaan 2017 iaitu ‘Belia Berdaya Usaha dan Berinovasi Menjayakan Wawasan Bangsa’ adalah amat bertepatan dengan pelaksanaan Festival Hari Belia kerana ia bukan sahaja menjadi platform untuk belia-belia membuat pertunjukan atau persembahan dari segi keagamaan, kebudayaan dan kesukanan, malah festival itu juga menjadi sebuah platform yang melatih dan memberikan peluang kepada para belia untuk menjadi usahawan dengan menyertai petak jualan yang disediakan pada kadar harga yang sangat minimum.
“Ruang dan peluang yang dicipta ini diharapkan akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berdaya usaha dan mengurangkan sedikit sebanyak jumlah pengangguran di negara kita,” jelasnya.
Beliau turut berkata bahawa Festival Hari Belia yang diiktiraf oleh KKBS dijadikan sebagai salah satu program tahunan dan program sampingan bagi memeriahkan Sambutan Hari Belia Kebangsaan.
Festival Hari Belia 2017 selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Oktober ini diadakan bersempena Sambutan Hari Belia ke-12, di mana ia dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam kecuali pada Jumaat ia akan bermula pada pukul 2 petang hingga 10 malam.
Festival itu menyaksikan penyertaan daripada lebih 80 usahawan tempatan yang menjual dan menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan di samping kegiatan-kegiatan menarik bagi para pengunjung.