Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival, reruai kopi meriahkan Sambutan HBK ke-20

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-20, yang menghargai peranan, sumbangan dan komitmen generasi belia dalam pembangunan negara, Festival HBK20 dan acara IN:Stall @YDC CoffeeBiz 2025 dianjurkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 31 Ogos.

    Majlis pelancaran rasmi bagi Festival HBK20 berlangsung di Hab Belia, Stadium Negara Hassanal Bolkiah telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Festival bertujuan memastikan suara dan penglibatan belia dihargai serta diambil kira dalam penggubalan dasar belia. Ia menyediakan ruang terbuka dan inklusif untuk belia menyuarakan pandangan, cabaran dan mencari penyelesaian praktikal, selari dengan input penting bagi Kongres Belia Kebangsaan dan DBNS 2020-2035.

    Festival itu juga bertujuan meningkatkan pendedahan belia terhadap peluang penyertaan aktif dalam masyarakat, memupuk aktivisme dan kepimpinan, serta membuka ruang kerjasama dengan persatuan-persatuan bagi memperkukuh jaringan dan ekosistem pembangunan belia.

    Aktiviti santai dan kreatif turut disediakan bagi menggalakkan penyertaan belia dan orang ramai, sambil memupuk kesihatan fizikal dan mental.

    Festival HBK20 merupakan platform yang menyatukan suara, bakat dan aspirasi belia Brunei melalui pendekatan inklusif dan kolaboratif, menghimpunkan pemimpin belia, NGO, komuniti, sektor swasta dan kerajaan.

    Seiring dengan sambutan tersebut, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pembangunan Belia, dengan kerjasama Futurebrands dan Vigorous Event Management, menganjurkan acara IN:Stall @YDC CoffeeBiz 2025 di Hab Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah dari pukul 3 petang hingga 10 malam.

    Majlis pelancaran rasmi acara tersebut turut disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Bertemakan Brewing Youth Entrepreneurship, acara itu menghimpunkan 35 reruai kopi dan matcha dari seluruh Brunei, sebagai manifestasi nyata komitmen negara menyediakan platform untuk memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang inklusif dan berdaya saing.

    IN:Stall @YDC CoffeeBiz 2025 bukan sahaja meraikan budaya kopi yang semakin berkembang, malah berperanan sebagai platform strategik untuk membina komuniti usahawan belia yang berdaya tahan dan kompetitif.

    Acara itu turut menampilkan aktiviti seperti Brew Talks, Latte Art Challenge dan pameran teknologi berkaitan industri kopi, yang bukan sahaja meraikan kreativiti belia tetapi juga memperkukuh sinergi antara belia, industri dan kerajaan.

    Dengan sokongan padu daripada pelbagai rakan kolaborasi serta sambutan positif masyarakat, IN:Stall @YDC CoffeeBiz 2025 diyakini menjadi penanda aras penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan belia di Negara Brunei Darussalam melalui pendekatan senegara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyempurnakan Majlis pelancaran rasmi Festival HBK20.
    Sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melawat salah satu reruai yang ada di acara tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda