Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival jubli emas sempena penubuhan Maktab Duli

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Selama lima dekad, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah menjadi tunjang utama dalam melahirkan generasi pewaris bangsa, pemimpin, profesional dan tenaga kerja mahir yang berpegang teguh kepada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
     
    Perjalanan lima dekad maktab berkenaan bukan sekadar satu angka tetapi merupakan sejarah perjuangan, dedikasi dan komitmen seluru warga pendidik, pelajar serta komuniti yang sama-sama membina kecemerlangan maktab sejak 1975.
     
    “Hari ini, kita bukan sahaja meraikan perjalanan yang penuh memberi makna tetapi juga boleh meneguhkan komitmen kita untuk meneruskan legasi kecemerlangan dalam pendidikan pra universiti di negara ini.”
     
    Perkara itu dinyatakan oleh Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad dalam ucapan di Majlis Pelancaran Festival Jubli Emas sempena Sambutan 50 Tahun Penubuhan Maktab Duli yang berlangsung di Auditorium Citra Gemilang, Maktab Duli, hari ini.
     
    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran festival berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, yang juga mantan pengetua Maktab Duli (1981).
     
    Majlis turut dihadiri oleh mantan-mantan pengetua Maktab Duli, para jemputan khas serta pensyarah, kakitangan dan pelajar maktab berkenaan.
     
    Majlis menyaksikan pelancaran festival oleh Yang Berhormat Pehin dan diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi peraduan mencipta logo jubli emas serta penyampaian cenderamata khas kepada mantan-mantan pengetua sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka.
     
    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin bersama para jemputan khas turut berpeluang melawat pameran-pameran jubli emas di perpustakaan maktab dan Pusat Pembelajaran dan Perkhidmatan Pelajar (SLSC) sebelum menamatkan lawatan di bazar jubli emas yang diadakan di kawasan letak kereta pensyarah.
     
    Majlis pelancaran berkenaan menandakan kemuncak kepada rangkaian acara sambutan ulang tahun ke-50 Maktab Duli yang meraikan lima dekad kecemerlangan akademik, kepimpinan dan khidmat bakti kepada negara.
     
    Yang Berhormat Pehin menyampaikan cenderamata khas kepada mantan-mantan pengetua Maktab Duli. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Mencipta Logo Jubli Emas. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Yang Berhormat Pehin serta para jemputan khas bergambar ramai. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda