Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Festival Kecergasan anjuran bersama Peak Performance Sdn Bhd dan Atlet Belia dan Sport Profesional yang dilancarkan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peminat sukan di negara ini.
Acara yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Peak Performance, Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC), Berakas itu mengetengahkan beberapa aktiviti sukan seperti pertandingan Powerlifting dan Weighlifting serta pameran.
Festival berkenaan dibukakan kepada semua yang berminat dalam pelbagai sukan yang memfokuskan tentang kepentingan industri kecergasan tempatan di negara ini.
Acara berkenaan juga merupakan satu platform bagi menyokong dan meningkatkan komuniti kecergasan sementara mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat yang menawarkan pelbagai jenis sukan dan aktiviti kecergasan.
Antara aktiviti yang memeriahkan acara termasuk bootcamp, boxing, inline skating, rugby, ultimate frisbee, diving dan banyak lagi.

Pengunjung juga berpeluang melihat pameran perniagaan yang menjadi sebahagian daripada ekosistem sukan termasuk penyedia makanan dan makanan tambahan yang disusun sebelum dan selepas bersukan serta perkhidmatan sukan.
Pameran makanan sihat disertai oleh Two Sons Coffee, The Morning Dudes, Happy Cream, Saffa’s Taste, The Acai Bar, The Cake Project, Moistjito dan Butter and Eggs.
Manakala itu, perkhidmatan sukan termasuklah fisioterapi oleh Traphy, My Protein Brunei, dan penyedia perkhidmatan membersihkan kasut dan beg Kasut Mo bn.
Festival itu ditaja oleh Alam Water, Tuffa Tapes, Gizmo Fit, JCMB fitness dan Suzuki.
Hadir merasmikan acara berkenaan kelmarin ialah Ketua Aset Alternatif, Agensi Pelaburan Brunei, Dayang Noorsurainah binti Tengah yang juga merupakan pengerusi Lembaga Pengarah Peak Performance.