Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Keluarga Harmoni padat aktiviti

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Festival Keluarga Harmoni yang diadakan sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) ke-11 membuka tirainya hari ini dan akan berlangsung selama tiga hari di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan Taman Mahkota Jubli Emas, di sini.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan merasmikan festival berkenaan di Kompleks Yayasan, pagi tadi.

    Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini.

    Hadir menjunjung keberangkatan Yang Teramat Mulia ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Penasihat Bersama dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2023 dan isteri, setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) serta Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

    Pada majlis itu, Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia dijunjung bagi merasmikan Festival Keluarga Harmoni di Centre Stage, Kompleks Yayasan sebelum dijunjung berangkat melawat ke One Stop Family Hub dan menyaksikan pameran.

    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan dijunjung berangkat bersama YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini bagi menyaksikan pameran. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia seterusnya dijunjung berangkat untuk menyaksikan persembahan daripada
    Makan Ceria Sdn Bhd di Centre Stage dan meneruskan lawatan ke Plaza Terbuka Kompleks Yayasan bagi menyaksikan aktiviti riadah keluarga, pameran info keluarga dan aktiviti keusahawanan.

    Festival anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) KKBS dengan kerjasama Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), KHEDN dan Yayasan itu bertujuan untuk menyatukan, menyantunkan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dengan penuh rasa kasih sayang, tanggungjawab serta memupuk rasa hormat-menghormati dan pemedulian dalam diri setiap keluarga, khususnya sempena HKK 2023, dengan slogan Keluargaku Harapanku.

    Ia mengambil kira fokus HKK2023 iaitu Menerapkan Nilai-Nilai Teras Kekeluargaan Brunei: SaTu HaraPan (sayang menyayangi, tanggungjawab, hormat-menghormati dan pemedulian).

    Dengan berkonsepkan One Stop Family Hub, festival menyatukan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan persatuan badan-badan bukan kerajaan di negara ini yang dilaksanakan secara pendekatan senegara.

    Festival mengandungi empat konsep iaitu pameran info keluarga dan mini aktiviti, aktiviti riadah keluarga, aktiviti keusahawanan dan aktiviti santai seperti melihat wayang sambil berkelah di taman bersama keluarga.

    Antara aktiviti sepanjang festival termasuklah Pameran Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak; Unit Kaunseling serta Talian Kebajikan 141 dan Talian ANAK 121 daripada JAPEM; permainan tradisi, jualan buku dan Jejak Warisan Brunei daripada Jabatan Muzium-Muzium; Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak, pendaftaran keahlian dan aktiviti mewarna daripada Dewan Bahasa dan Pustaka; Kenali Sejarah Brunei, aktiviti salasilah dan jualan buku daripada Pusat Sejarah Brunei; pembarigaan aplikasi Mengalinga daripada Jabatan Belia dan Sukan; pameran Program Khidmat Bakti Negara; tunjuk cara mengikat dastar dan sinjang daripada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian serta banyak lagi.

    Antara aktiviti menarik yang boleh disertai oleh orang ramai bersama keluarga ialah Aktiviti Riadah Keluarga SaTu HaraPan pada 12 November di Taman Mahkota Jubli Emas di mana antara permainan keluarga yang diadakan adalah Amazing Race Keluarga, Alpha Challenge, yang menawarkan pelbagai hadiah berupa hamper barangan dapur bernilai sehingga $50.

    Di samping itu, tazkirah bertajuk Menerapkan Nilai-Nilai Teras Kekeluargaan Brunei: SaTu HaraPan juga akan diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien selepas sembahyang Fardu Maghrib pada hari ini dan Ahad.

    Oleh itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung bagi menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan dalam sama-sama memeriahkan festival berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda