Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival kesenian serlah bakat pelajar

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Bagi mencapai tujuan untuk memperlihatkan bakat dan kemahiran para pelajar dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan kepada khalayak awam, sehubungan itu Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPK) telah mengadakan Festival Juara-juara Aktiviti Kesenian bagi Sekolah-sekolah Rendah, Menengah dan Maktab-maktab Senegara Tahun 2023 bertempat di Atrium Concourse, Aras Bawah, The Mall Gadong, hari ini.

    Dengan pengungkayahan festival berkenaan, ia sebagai penghargaan dan sekali gus untuk meraikan para pemenang yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan maktab-maktab senegara yang telah memenangi pertandingan-pertandingan berbentuk kesenian dan kebudayaan tersebut.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan tujuh buah persembahan daripada juara-juara pertandingan berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman yang seterusnya menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.

    Juara bagi Pertandingan Tarian Asli Brunei bagi Sekolah-sekolah Menengah Senegara Tahun 2023 dirangkul oleh kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB); manakala dua buah kumpulan pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba pula memenangi Pertandingan Menambang Syair bagi Sekolah-sekolah Menengah Senegara Tahun 2023 dan Pertandingan Kata-kata Pantang Larang Orang Tua-tua bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara Tahun 2023.

    Manakala juara bagi Pertandingan Gulintangan bagi Sekolah-sekolah Menengah Senegara Tahun 2023 telah disandang oleh Sekolah Menengah Masin.

    Kumpulan pelajar dari Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMSS) dinobatkan sebagai juara untuk Pertandingan Koir Lagu Kanak-kanak Brunei bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara Tahun 2023.

    Sementara itu, johan bagi Pertandingan Tarian Etnik Brunei bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara Tahun 2023 diperolehi oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi, Temburong; dan sekumpulan pelajar dari Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kiarong menerima hadiah pertama untuk Pertandingan Bermukun bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara Tahun 2023.

    Dengan adanya kemeriahan festival berkenaan, ia turut diharap akan dapat memperkenalkan kesenian dan kebudayaan Brunei kepada generasi masa kini sambil mendorong murid-murid untuk mempelajari dan mengenal identiti keBruneian melalui kesenian dan kebudayaan Brunei yang seharusnya diwarisi turun-temurun oleh orang-orang Brunei sendiri sejajar dengan memartabatkan Melayu Islam Beraja.

    Awang Aliuddin bergambar bersama peserta dari SMSB selaku juara bagi Pertandingan Tarian Asli Brunei. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara peserta mempersembahkan tarian mereka semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda