Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Bagi mendedahkan orang ramai tentang kepentingan kesihatan wanita dengan mengikuti gaya hidup yang sihat, empat orang mahasiswa perubatan dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan mengadakan ‘Festival Kita Memperkasa Kesihatan Wanita’ pada 19 Ogos ini.
Dijangka hadir melancarkan acara yang akan berlangsung di Plaza Tengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini bermula pukul 6 pagi itu ialah Presiden Persatuan Jururawat Brunei Darussalam (PENJURU), Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah.
Menurut pihak penganjur, Dayang Aida Syahirah binti Haji Aji, antara aktiviti sepanjang acara berkenaan ialah sesi zumba dan Muay Thai untuk wanita yang dikelolakan oleh Fitness Rebel, demonstrasi karate oleh Shokotan Karatedo Brunei Darussalam, kejohanan dodgeball dan banyak lagi.
Orang ramai yang hadir juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma, menyaksikan pameran pendidikan kesihatan mengenai kepentingan pemeriksaan awal terutama mengetahui benjolan pada payudara, mengetahui tentang kepentingan nutrisi kesihatan dan banyak lagi.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa acara serupa juga akan diadakan pada 26 Ogos di Kompleks Annajat, Beribi pukul 10 pagi.
Pada hari itu nanti, ‘Healthy Grocery Tour’ akan diadakan di mana para peserta akan dibawa masuk ke dalam pusat membeli-belah dan diajar bagaimana memilih makanan sihat dengan memeriksa tanda dan nutrisi yang ada. Para peserta juga berpeluang memenangi hadiah kuiz yang dianjurkan nanti.
Objektif lain acara ini adalah untuk membuat pemeriksaan secara berterusan mengikut jadual, berolahraga, memakan makanan sihat dan banyak lagi selain bertujuan untuk meningkatkan semangat wanita untuk lebih aktif.
Acara ini merupakan sebahagian daripada modul pembelajaran khas tahun akhir mahasiswa PAPRSB IHS sebelum memasuki sekolah perubatan di luar negara.
Ia juga disokong oleh Kristal-FM, Aewon Brunei, Fitness Rebel, Subbstation, UBD Dodge-ball Club, Century Travel, Red-bull, Brunei Halal, Cuckoo, Shotokan Karatedo Brunei dan RAFX Lab.