Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival ketengah bidang olahraga dalam kalangan kanak-kanak

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Lebih kurang 745 orang murid termasuk murid-murid berkeperluan khas dari 62 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta telah menyertai Festival Olahraga Kanak-kanak Sekolah Rendah Tahun 2023 yang berlangsung di Padang Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sungai Akar.

    Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, festival berkenaan diadakan selama tiga hari berasingan.

    Empat acara telah dipertandingkan iaitu Formula Bends, Slide Swing Throw, Rythmic Jump Relay dan Ladder Recovery yang dibukakan kepada pelajar sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang pada hari kedua festival ialah Pemangku Pengarah di Jabatan Pendidikan Kokurikulum Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad@Mohamat.

    Keputusan keseluruhan bagi Kluster 3 dimenangi oleh Sekolah Rendah Pantai Berakas diikuti dengan Sekolah Rendah Delima Satu selaku naib johan dan Sekolah Rendah Rimba Satu di tempat ketiga.

    Bagi Kluster 4, johan disandang oleh Sekolah Rendah Katok ‘B’, diikuti dengan Sekolah Rendah Sengkurong dan Sekolah Rendah Beribi Telanai masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

    Antara objektif festival berkenaan adalah untuk memperkenalkan aktiviti sukan yang sesuai dengan keperluan fizikal dan pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak.

    Di samping itu, ia juga diharap dapat menarik minat kanak-kanak dalam aktiviti gerakan, memperkenalkan asas-asas pergerakan olahraga dalam bentuk permainan, merangsang pertumbuhan dan perkembangan fizikal serta mempromosikan gaya hidup yang seimbang dan sihat, dan menggalakkan aspek keseronokan dalam permainan.

    Melalui pertandingan itu juga, ia diharapkan dapat mempopularkan enam bidang olahraga melalui beberapa program pertandingan yang digelar A Team Event for Children, yang terdiri daripada tiga kumpulan acara iaitu Kumpulan Acara Lari Pecut, Kumpulan Acara Lompat dan Kumpulan Acara Melontar.

    Gambar ramai semasa acara tersebut. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Antara aksi para peserta di Padang Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sungai Akar. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda