Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Festival Korea 2025 kembali lagi dengan pelbagai acara menarik yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 3 Ogos di Pusat Membeli-belah Times Square dari 10 pagi hingga 10 malam.
Majlis pelancaran festival tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, selaku tetamu kehormat majlis.
Festival itu dianjurkan oleh Kedutaan Republik Korea dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Republik Korea, Yayasan Institut King Sejong dan Pusat Membeli-belah Times Square.
Turut hadir semasa majlis pembukaan ialah Duta Besar Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook.
Antara tarikan utama festival tahun ini ialah Bengkel Kecantikan K-Beauty yang dikendalikan oleh pakar budaya, Lee Jae Hoon. Para pengunjung yang berminat boleh mendaftar untuk menyertai bengkel tersebut sepanjang tiga hari acara berlangsung.
Pelbagai aktiviti lain turut disediakan untuk pengunjung termasuk kelas memasak, demonstrasi taekwondo dan mencuba pakaian tradisional hanbok.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai kempen cabutan bertuah dengan melawat gerai-gerai pempamer yang mengambil bahagian. Majlis penyampaian hadiah bagi cabutan bertuah tersebut akan diadakan pada 3 Ogos pada jam 8 malam.



