BEELITZ, JERMAN – Labu telah menjadi tarikan utama pengunjung di ladang Klaistow berhampiran Berlin.
Lebih 100,000 labu dalam pelbagai bentuk dan warna dipamerkan di seluruh ladang dan di atas rak di sepanjang jalan-jalan berliku, menyaksikan 500 varieti labu berbeza dari seluruh dunia, setiap satu dilabelkan dengan nama dan asal-usulnya.
Festival labu besar di ladang yang terletak 56 kilometer di barat daya ibu negara Jerman, yang kini berlangsung untuk kali ke-22, telah menjadi begitu popular sehingga menarik lebih 12,000 pengunjung pada hari hujung minggu dan lebih 5,000 pada hari bekerja.
Tahun ini ia menampilkan 15 arca labu yang lebih besar daripada hakikat sebenar dan pelbagai jenis tawaran makanan manis dan berperisa, semuanya dibuat dengan labu.
Labu-labu berkenaan berasal dari ladang petani sendiri dan dari seluruh dunia.






Festival ini bermula pada tahun 2004 apabila semakin ramai orang Jerman menerima tradisi Halloween Amerika. Hanya dalam beberapa tahun yang singkat ini, sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk Jerman untuk meletakkan labu berukir di halaman rumah mereka, untuk kanak-kanak pergi dari pintu ke pintu rumah dan untuk orang dewasa muda berpesta dengan kostum menggerunkan dan berlumuran darah di pesta-pesta perayaan.
Tema pameran pertama adalah bagaimana labu itu datang ke Eropah, kata Antje Winkelmann, yang mengendalikan ladang keluarga itu, mengatakan ia adalah ‘topik yang hebat, kerana ia datang dari Amerika ke Eropah.’
“Christopher Columbus membawa labu bersamanya, dan kami membina semula kapal yang dinaiki Christopher Columbus dan menceritakan kisah keseluruhannya,” katanya.
Selepas meneroka pelbagai topik dalam tempoh 21 tahun yang lalu, tahun ini temanya berkisar mengenai kuasa wanita.
“Kami mempunyai sukan, kami mempunyai Rom purba, kami mempunyai Alp dan gunung serta dunia bintang dan planet. Dan kini kami benar-benar merasakan sudah tiba masanya untuk wanita menjadi topik,” kata Winkelmann.
Mereka meneliti senarai wanita terkenal, katanya, dan kemudian memilih beberapa ‘berdasarkan perkara yang mudah dipersembahkan, perkara yang menarik perhatian.’
Pemenang termasuk artis Mexico, Frida Kahlo, watak buku fiksyen Sweden yang digemari Pippi Longstocking, dan Cleopatra Mesir purba, semuanya sudah tentu dicipta daripada labu berwarna-warni.
“Kami menyedari memang terdapat ramai wanita yang menakjubkan,” kata Winkelmann.
Baru-baru ini, keluarga-keluarga kelihatan meneroka ladang yang luas itu, berjalan-jalan melepasi patung gergasi Marge Simpson, rambutnya terdiri daripada berpuluh-puluh labu musim sejuk bulat coklat, pakaiannya dibuat dengan labu jingga kecil. Berdekatan adalah patung Elsa dari filem kegemaran kanak-kanak paling popular Frozen, dalam pakaian labu kuning pucat.
Bertha Benz, perintis automotif Jerman yang terkenal, duduk di atas kereta Mercedes model awal, rodanya dihiasi dengan jenis labu musim sejuk jingga yang sama dengan skirt panjangnya.
Gesine Struppert, yang melawat ladang bersama anak perempuannya dari bandar Wittenberg, berkata dia mendapat inspirasi untuk membuat hidangan labu baharu di rumah dan berasa kagum dengan arca yang dipamerkan.
“Ia agak gila,” katanya.
Turut dijual adalah 30 jenis labu yang berbeza, boleh dimakan dan dijadikan sebagai hiasan, serta banyak juadah labu.
“Sudah tentu, labu juga ada dalam menu,” kata Winkelmann.
“Kami telah memasukkan labu dan ayam yang disalut dengan sos labu. Kami mempunyai labu tarte flambée, labu crème brûlée, pelbagai jenis sajian menggunakan labu, jadi awda boleh mencubanya. Di kedai roti kami, sudah tentu labu juga menjadi tumpuan, dengan biji labu, roti biji labu, kek labu dan hirisan krim labu.” – AP
