DOHA, 6 APRIL – Festival Langit Lusail, antara acara udara terbesar di rantau ini, berlangsung selama tiga hari di Bandar Lusail, Qatar.
Acara yang telah dianjurkan oleh Visit Qatar, cabang pemasaran rasmi Pelancongan Qatar ini menampilkan persembahan udara yang memukau dan pelbagai lagi hiburan mesra keluarga.
Ribuan pengunjung hadir sepanjang dua hari pertama untuk menyaksikan pertunjukan yang mengagumkan.
Antara tarikan utama festival itu adalah persembahan daripada pasukan aerobatik antarabangsa, demonstrasi jet berkelajuan tinggi, aksi penulisan langit serta pertunjukan terjun udara profesional.
Pertunjukan dron yang menjadi tumpuan utama dalam acara tersebut telah melibatkan lebih daripada 3,000 unit dron bercahaya serta 150 pesawat piroteknik diselaraskan dengan muzik dan cahaya bagi menghasilkan pengalaman visual yang menakjubkan.
Festival ini turut mengukuhkan kedudukan Qatar sebagai destinasi pelancongan dan acara yang bertaraf dunia. – Xinhua
