Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Festival Makanan dan Fesyen 2017 dibuka secara rasmi hari ini menampilkan raja buah, Durian King yang dijual pada harga istimewa.
Hadir melancarkan festival yang berlangsung di Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Pengerusi majlis yang juga wakil penganjur Star Bugs Event Management, Awang Farisan bin Mansur dalam ucapan alu-aluannya mengatakan festival itu dihasratkan dapat menonjolkan usahawan belia Brunei yang lebih berani menghadapi cabaran dunia perniagaan.
Menurutnya, pengusaha belia Brunei berhadapan pelbagai cabaran awal dalam perniagaan terutamanya dari segi teknikal, kewangan, pengetahuan dan kekurangan kenalan niaga.


Namun dengan keberanian mereka menonjolkan produk mereka di platform jualan seperti festival dan pesta jualan yang diadakan di negara ini, ia diharap dapat mempertingkatkan lagi promosi produk dan menambahkan lagi rangkaian kenalan perniagaan mereka, tambahnya.
Festival yang berlangsung selama tujuh hari itu mendapat sambutan awal pagi ini daripada orang ramai yang ingin mendapatkan harga durian murah.
Selain itu, lebih 100 tray telur, 100 keping martabak dan minuman panas diberikan percuma kepada pengunjung terawal yang mendapatkan kupon daripada jawatankuasa penganjur di dalam stadium.
Festival itu mempromosikan produk-produk makanan, kecantikan dan pakaian yang disertai oleh usahawan-usahawan belia dan usahawan veteran yang sudah lama bergiat dalam bidang perniagaan.