Festival Makanan India dapat sambutan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam dengan kerjasama Indian Tourism Development Corporation (ITDC), New Delhi dan Pejabat Pelancongan India, baru-baru ini, telah menganjurkan Festival Makanan bertemakan masakan Lucknowi/Awadhi di Hotel Antarabangsa Rizqun, yang telah mendapat sambutan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi India, dua orang cef dari ITDC iaitu Kirti Rastogi dan Tara Dutt Bhatt didatangkan khas ke Brunei untuk menyediakan hidangan bagi festival tersebut yang berlangsung selama tiga hari hingga 16 Februari itu.

Festival tersebut telah dilancarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar dengan disaksikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Tuan Yang Terutama dalam ucapannya menekankan ciri-ciri menonjol masakan Lucknowi/Awadhi, asal-usulnya dan metode memasak yang unik.

Majlis pelancaran disusuli dengan makan malam yang dihadiri oleh kira-kira 170 orang jemputan khas yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kanan, ahli-ahli Kor Diplomatik, dewan-dewan perdagangan dan masyarakat tempatan dan India yang terkemuka.

Kira-kira 200 orang telah menghadiri festival makanan berkenaan sepanjang dua hari ia dibukakan kepada orang awam.

Pengiran Haji Kamalrudzaman, TYT Ajaneesh Kumar bersama jemputan khas dan dua cef dari ITDC bergambar ramai pada majlis pelancaran festival di Hotel Antarabangsa Rizqun.