Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Makanan Pakistan saji 30 jenis masakan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Kira-kira lebih 30 jenis masakan Pakistan telah diketengahkan semasa Festival Makanan Pakistan yang berlangsung di Rizqun Coffee House, Gadong, semalam.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
     
    Perasmian majls tersebut telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Farhat Abbas Sani, yang seterusnya menyampaikan ucapan.
     
    Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa festival tersebut akan diteruskan sehingga 5 Jun ini. 
     
    Beliau turut menambah, “Kerjasama dua hala kedua-dua buah negara berakar umbi dari pelbagai aspek dan merangkumi semua aspek penting dalam hubungan dua hala yang terus berkembang setiap hari. 
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf dan TYT Mejar Jeneral (B) Farhat Abbas Sani semasa menyempurnakan acara memotong kek. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara masakan yang diketengahkan semasa festival tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    “Pakistan dan Brunei menikmati pertalian budaya yang luar biasa termasuk nilai kekeluargaan, tradisi, masakan dan lain-lain.
     
    “Yang paling ketara ialah orang Brunei menyukai beriani ayam Pakistan. Saya gembira untuk merasmikan pesta makanan ini untuk mempromosikan masakan Pakistan kepada rakan-rakan Brunei dan komuniti ekspatriat di Brunei Darussalam,” jelasnya lagi.
     
    Semasa majlis berkenaan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf serta tetamu yang terdiri daripada diplomat asing ke negara ini turut berpeluang untuk mencuba hidangan dari negara tersebut.
     
    Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada anggota tentera yang terlibat semasa upacara perbarisan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini di samping penyampaian sijil penghargaan kepada dua buah restoran tempatan Pakistan yang telah lama berkhidmat menyajikan makanan Pakistan di ibu negara. 
     
    Selain itu, majlis juga menyaksikan tetamu kehormat, pesuruhjaya tinggi dan kanak-kanak Pakistan menyempurnakan acara memotong kek sempena hubungan diplomatik Brunei Darussalam dan Pakistan ke-40 tahun sejak menjalinkan hubungan pada tahun 1984.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda