Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWA, 29 MAC – Royal Brunei Culinary (RBC) dengan sokongan Suruhanjaya Tinggi Singapura, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Singapore Airlines (SIA) telah melancarkan Festival Makanan Singapura di Restoran Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Pelancaran disempurnakan bersama oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong selaku tetamu kehormat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow; dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Pengerusi Lembaga Pengarah RBC, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir untuk menyaksikan majlis pelancaran berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah RBC, wakil Suruhanjaya Tinggi Singapura ke Negara Brunei Darussalam dan para jemputan.
Pengurus Besar RBC, Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial dalam ucapannya berkata, ia merupakan satu kehormatan bagi RBC untuk mengadakan Festival Makanan Singapura di Restoran Anjung Saujana, yang juga merupakan promosi makanan rentas sempadan pertama selama lebih dari setahun.
Ini, ujarnya, hanya dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama hebat antara RBC, Suruhanjaya Tinggi Singapura di Brunei Darussalam, STB dan SIA.
TYT Heng Aik Yeow pula mengatakan bahawa walaupun ramai yang berminat untuk membuat perjalanan setelah setahun, sekatan perjalanan masih diperlukan untuk melindungi daripada COVID-19.
Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada RBC, STB dan The Black Hole Group kerana membawakan masakan tradisional Singapura ke negara ini.
“Kami berharap menu ini dapat membantu meredakan perjalanan dan membangkitkan selera untuk berkunjung ke Singapura apabila perjalanan yang lebih luas dapat disambung dengan selamat,” tambah beliau.
Selepas pelancaran, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan tanda penghargaan kepada TYT Heng Aik Yeow.
The Black Hole Group yang khusus dalam kopi artisan dan makanan gourmet, memilih menu untuk Festival Makanan Singapura tahun ini, berdasarkan hidangan terlaris mereka iaitu Tuna Tataki with Green Apple Ponzu, Tempeh Fries dengan Sambal Matah dan Nasi Rawon Claypot dengan sotong bakar daripada menu a la carte mereka.
Untuk bufet, mereka menyajikan Burger Bar yang popular serta hidangan Laksa Pasta.
Hidangan pencuci mulut yang unik dan kontemporari dari Singapura seperti Durian Sarawa Crème Brulee, Red Velvet Speculoos Cake dan Putu Piring Cake juga akan ditawarkan di restoran berkenaan.
Untuk Festival Makanan Singapura tahun ini, Restoran Anjung Saujana mempunyai penyediaan yang berbeza untuk pelanggan di mana ala carte akan disediakan setiap hari untuk makan tengah hari dan makan malam kecuali semasa bufet.
Bufet makan malam pula hanya tersedia setiap Khamis hingga Sabtu sementara bufet makan tengah hari khas juga disediakan pada Ahad sahaja.
Sepanjang festival yang akan berlangsung hingga 11 April itu, pemegang Kad Privilege RBC Dining dapat menikmati diskaun 10 peratus sementara pemegang kad Bank Baiduri pula akan mendapat diskaun hingga 20 peratus.