Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh di Negara Brunei Darussalam, hari ini telah menganjurkan dua acara berasingan iaitu Bangladesh Street Food Festival dan Festival Makanan dan Kebudayaan Bangladesh yang berlangsung di Restoran De’Green Sylhet, Bandar Seri Begawan dan di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan Festival Makanan dan Kebudayaan Bangladesh ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa, manakala hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan perasmian Bangladesh Street Food Festival ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Turut hadir ialah Pesu-ruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Brunei, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona.
Festival itu disertai oleh tujuh restoran yang mempamerkan masakan asli Bangladesh semasa Bandarku Ceria di sepanjang jalan bermula di Restoran dan Katering De’green Sylhet, Restoran Santinur Sdn Bhd, Restoran Baisakhi, Restoran dan Katering Mita & Mehedi, Restoran Saiba Jaya, Restoran Osman Ghani dan Restoran dan Katering Haider.
Oleh itu orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai festival itu bolehlah menghubungi talian 2244272.
