Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival makanan Thailand kembali lagi

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Bagi penggemar hidangan Thailand, mereka kini boleh merebut peluang untuk menikmati pelbagai cita rasa masakan negara itu dalam festival Amazing Thailand Food Promotion bertempat di Mutiara I, Restoran Tasek Brasserie, Hotel Radisson bermula hari ini hingga 5 Ogos.

    Festival anjuran Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Hotel Radisson itu telah dirasmikan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa.

    Hadir mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai.

    Turut hadir ialah perwakilan-perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang lain. PYT Boosara Kanchanalai dalam ucapannya berkata festival berkenaan sememangnya bagi mengiktiraf kuasa makanan demi diplomasi dan pertukaran budaya di mana makanan mempunyai keupayaan unik untuk memupuk hubungan.

    “Itulah sebabnya sesetengah orang melancong ke luar negara untuk pengembaraan kulinari atau jalan-jalan cari makan tetapi kali ini kami membawa cita rasa Thailand ke Brunei!,” ujarnya.

    Sebahagian hidangan Thailand yang ditampilkan semasa festival tersebut. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bersama perwakilan-perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam merasai sentuhan kulinari istimewa yang telah disediakan semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh James Kon
    Antara hidangan masakan Thailand yang telah disediakan semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Puan Yang Terutama seterusnya menyatakan Kedutaan Thailand di sini berusaha untuk mempromosikan makanan Thai sebagai bentuk diplomasi makanan untuk meningkatkan persefahaman dan perhubungan.

    “Sebelum ini kami telah menerbitkan Thai Restaurant Guidebook in Brunei dan tidak lama lagi akan melancarkan versi e-buku untuk kemudahan semua.

    “Kami juga menganjurkan Bazar Thailand pada bulan Jun dan akan menganjurkan satu lagi sekitar bulan depan bagi mempromosikan makanan Thai.

    “Kami berharap dapat bekerjasama secara berterusan dengan sektor swasta di Brunei dalam mempromosikan bukan sahaja makanan Thai tetapi budaya dan tradisi Thailand yang boleh meningkatkan persefahaman antara kami kedua-dua negara,” kongsinya.

    Festival yang bermula daripada jam 6:30 petang hingga 10 malam itu akan menampilkan hidangan bermula dari pembuka selera, salad, sup, hidangan utama, live stations termasuk pencuci mulut dengan sentuhan istimewa oleh seorang cef Thai dari Radisson Sukhumvit, Bangkok sepanjang tarikh terhad itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda