Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival mangga hubungkan pengeluar dengan pelanggan

    ASWAN, MESIR – “Betapa hebatnya kamu, Mangga! Betapa manisnya kamu, Mangga!” Itulah antara lirik lagu Mesir yang terdengar di latar belakang ketika pelanggan melintasi pintu masuk ke festival mangga yang diadakan di taman umum yang menghadap ke Sungai Nil di kota Aswan yang menawan di Hulu Mesir.

    Festival Mangga Aswan 2021 selama empat hari yang bermula pada hari Jumaat lalu dianjurkan oleh Gabenor Aswan dan disertai oleh 12 peniaga yang pakar dalam menanam dan mengedar mangga untuk mempromosikan buah strategik yang ditanam di wilayah itu dan secara langsung menghubungkan pemborong dengan pelanggan menerusi penjualan dengan keuntungan sama rata.

    Ghada Abo Zaid, wakil gabenor Aswan, mengatakan festival ini bertujuan untuk membantu para petani mangga memasarkan produk mereka, berkata musim mangga di Mesir bermula di Aswan kerana cuaca musim panasnya dan wilayah ini menghasilkan 56 jenis mangga.

    “Ini merupakan kali kedua festival mangga diadakan. Kali pertama pada dua tahun yang lalu dan kami berusaha mengekalkan tradisi ini,” beritahu wakil gabenor kepada Xinhua, sambil menambah para pelabur mula menghubungi gabenor untuk membeli produk mangga berkualiti tinggi untuk diproses dan eksport.

    Aswan menghasilkan lebih daripada 100,000 tan mangga setiap tahun, sebahagiannya dieksport dan selebihnya dijual di pasar tempatan, menurut Abo Zaid, yang menyifatkan jumlah pelanggan yang mengunjungi festival itu ‘amat memberangsangkan’. Pintu masuk dimulakan dengan bentuk seperti belon hijau dan kuning yang mengarah ke beberapa pondok pelbagai jenis mangga yang dikelilingi oleh pelanggan, yang kebanyakannya adalah wanita dari Aswan.

    Salah seorang pengusaha menunjukkan buah mangga di Festival Mangga yang diadakan selama empat hari di Aswan, Mesir. – Xinhua
    Seorang pelanggan kelihatan membeli mangga di salah sebuah gerai di festival tersebut. – Xinhua

    “Perayaan festival mangga merupakan idea bagus yang diadakan pada musim yang bagus, kerana kita semua menyukai mangga,” kata Dina Mady, seorang wanita muda dari Aswan.

    “Kami membeli banyak buah mangga hari ini untuk kami dan keluarga. Kami berharap inisiatif ini dapat diulang dan diterapkan pada semua buah dalam semua musim,” tambahnya.

    Hossam Sultan, seorang lelaki dari Kaherah yang bekerja dalam projek tenaga mega di Aswan, membawa isteri dan anak kecilnya ke festival mangga untuk menikmati suasana perayaan dan membeli beberapa buah yang popular di Mesir.

    Lelaki itu percaya bahawa proses dari pemborong hingga peruncit brakhir dengan harga dua kali ganda yang dibayar oleh pengguna.

    “Tetapi menghubungkan pengeluar secara langsung dengan pelanggan menurunkan harga, memintas perantaraan broker dan membantu mendapatkan lebih banyak keuntungan untuk petani,” jelasnya.

    Satu kilogram mangga di festival mangga berharga 15 paun Mesir (kira-kira AS$1), sementara harga mangga umumnya dua atau tiga kali ganda di tempat lain di Mesir.

    Abdel-Nasser Mahmoud, seorang penjual mangga berusia 35 tahun, mengeluarkan mangga dari bakul dan menyusunnya di dalam dulang besar di pondoknya untuk dipamerkan dengan menarik untuk pengunjung festival tersebut.

    “Banyak orang tidak tahu Aswan memiliki jenis mangga terbaik. Jadi festival ini bertujuan untuk menjadikan mangga Aswan popular di seluruh negara,” katanya, sambil menambah dia telah bekerja dalam perniagaan mangga sejak dia masih kecil.

    Hassan Amin, penasihat ekonomi gabenor Aswan dan penganjur utama festival itu, mengatakan gabenor telah menerima sejumlah besar tempahan disebabkan festival itu, termasuk seorang pelabur yang telah menempah 2,000 tan mangga untuk dihantar dalam seminggu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda