Tuesday, December 17, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Media Kreatif RTB raikan artis, penggiat seni

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Dalam usaha untuk memberi penghargaan kepada para artis dan penggiat seni tempatan dalam penciptaan lagu, nyanyian dan pembuatan muzik video, Radio Televisyen Brunei mengadakan rancangan, Festival Media Kreatif bagi 2024 yang berlangsung di Jerudong Park Amphitheatre, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RTB, di sini, festival itu menggabungkan tiga program anugerah yang mana sebelum ini diadakan secara berasingan iaitu gabungan Brunei Music Video (BruMV), Anugerah Express E-Hits dan Anugerah Pelangi.

    Hadir untuk menyaksikan festival berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Haji Raffizana bin Pengiran Haji Razali.

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Muhammad Kifli, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta orang ramai.

    Sebanyak 21 kategori anugerah dipertandingkan dan lima buah lagu telah dinilai secara langsung oleh juri pada Festival Media Kreatif berkenaan.

    Faizul Razali dengan lagu bertajuk Suluh, dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah Express E-Hits dengan membawa pulang wang tunai berjumlah $4,000 berserta hadiah dan trofi selain turut menerima anugerah bagi Persembahan Terbaik E-Hits dan Penulis Lirik Terbaik E-Hits yang turut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $500 bagi setiap kategori berserta hadiah dan juga trofi.

    Manakala D3VO dengan lagu berjudul Dentuman Hati pula dinobatkan sebagai naib juara Anugerah Express E-Hits dengan membawa pulang wang tunai sejumlah $3,000 berserta hadiah dan trofi di samping turut menjuarai Kategori Vokal Terbaik E-Hits.

    Sementara itu, Izzat Ramle dengan lagunya Nya Urang Lagi Daulu pula di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai sejumlah $2,000 berserta hadiah dan trofi.

    Bagi BruMV, Anugerah Muzik Video Terbaik dijuarai oleh lagu berjudul Pemilik terbitan Matters of Choice, arahan Fauzan Aziz yang membawa pulang wang tunai $5,000 dan trofi.

    Pemilik turut memenangi Anugerah Konsep Idea dan Storyline, Anugerah Pengarahan dan Anugerah Teknikal Penggambaran Video Terbaik yang turut membawa pulang wang tunai sejumlah $750 berserta trofi.

    Sementara itu, naib juara disandang oleh lagu berjudul Imtihan, ciptaan komposer Adlina Tunggal dan Azmi Tunggal serta diarahkan oleh Kay Tunggal dan diterbitkan oleh AZZAWJ Media yang menerima wang tunai sejumlah $4,500 berserta trofi.

    Imtihan turut menjuarai Anugerah Kreativiti / Overall Performance yang turut membawa pulang wang tunai sejumlah $750 berserta trofi.

    Tempat ketiga pula dirangkul oleh lagu bertajuk Tamat oleh komposer Ezuone dan hasil produksi Nazmi Zikry yang membawa pulang wang tunai sebanyak $4,000 beserta trofi.

    Bagi Anugerah Pelangi setiap pemenang menerima wang tunai sebanyak $2,000 bagi setiap kategori berserta trofi.

    Seterusnya, Anugerah Artis Terbaik dijuarai oleh BDRM Muse, Lagu Inspirasi Terbaik dimenangi oleh lagu berjudul Sang Pendengki oleh The Pujanggas Ft. Jaz, Muzik Video Terbaik hasil nyanyian Faizul Razali dengan lagunya Suluh, Vokal Duo/Kumpulan Terbaik dimenangi oleh The Pujanggas Ft. Jaz, Ezah Hashim dan Fakhrul Razi masing-masing menjuarai Vokal Wanita Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik.

    Lagu berjudul Stay nyanyian Browne Ft. Sa’adah memenangi kategori Lagu Inggeris Terbaik serta Ezah Hashim dengan lagunya berjudul Calar memenangi kategori Lagu Terbaik.

    Festival berkenaan bermatlamat untuk berfungsi sebagai platform berpengaruh dalam mengembangkan seni industri kreatif di Negara Brunei Darussalam selain memacu pertumbuhan industri kreatif dengan menyediakan platform bagi penggiat seni, penyiar, pemuzik dan penerbit tempatan untuk mempamerkan bakat mereka kepada penonton yang lebih luas serta memperkukuh nama Negara Brunei Darussalam di peta industri hiburan serantau dan antarabangsa.

    Faizul Razali selaku pemenang Juara E Hits, Persembahan Terbaik E-Hits dan Penulis Lirik Terbaik E-Hits.
    Naib Juara E-Hits dan Vokal Terbaik E-Hits, D3VO.
    Izzat Ramlee, pemenang tempat ke-3 E-Hits.
    Para pemenang bergambar ramai di akhir rancangan Festival Media Kreatif 2024. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN RTB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda