Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Festival menangkap ikan diwarisi turun-temurun

    SIEM REAP, KEMBOJA – Mengharungi perairan berlumpur sedalam paha di sebuah tasik
    besar di sini dalam wilayah kebudayaan Siem Reap, ratusan penduduk kampung pada Ahad lalu menggunakan alat tradisional untuk menangkap ikan dalam festival menangkap ikan tahunan.

    Memakai topi daun palma dan selendang tradisional untuk melindungi diri daripada terik matahari, penduduk kampung menjala ikan haruan air tawar, ikan keli dan ikan hinggap di tasik terlindung di kampung Bangkoang, daerah Prasat Bakong, kira-kira 300 kilometer dari ibu negara Phnom Penh.

    Penduduk kampung Chan Poun berkata, tradisi berkenaan disambut oleh penduduk kampung setiap tahun pada Februari selepas musim menuai padi.

    “Ia telah disambut sejak zaman dahulu lagi. Ini adalah tradisi penduduk kampung kami di sini,” katanya kepada Xinhua semasa mengambil bahagian dalam majlis itu.

    “Saya amat gembira menyertai perayaan ini dan ingin melihat penduduk kampung terus mengekalkan tradisi ini selama-lamanya,” tambahnya.

    Gambar Xinhua
    Seorang penduduk kampung menunjukkan seekor ikan yang baru ditangkap semasa festival menangkap ikan tradisional di wilayah Siem Reap, Kemboja pada 11 Februari. – Xinhua
    Penduduk kampung menarik jala semasa festival menangkap ikan tradisional berkenaan. – Xinhua
    Seorang penduduk kampung melemparkan pukat semasa festival menangkap ikan tradisional. – Xinhua

    Poun yang menyertai acara tersebut sejak lebih 10 tahun lalu menyedari upacara tradisi itu semakin popular dari tahun ke tahun apabila semakin ramai yang menyertainya.

    Gabenor daerah Prasat Bakong, So Platong berkata, tradisi itu telah wujud sejak zaman purba untuk menandakan berakhirnya musim menuai padi dan ia telah diwarisi turun-temurun.

    “Ini adalah tradisi penduduk kampung di wilayah Siem Reap, yang menempatkan
    Taman Arkeologi Angkor,” katanya kepada pemberita pada majlis itu.

    “Ia adalah salah satu perayaan tradisional kami untuk membantu menarik pelancong nasional dan antarabangsa.”

    Platong berkata, peserta hanya dibenarkan menggunakan peralatan menangkap ikan tradisional seperti anyaman buluh dan pukat untuk mengaut hasil tangkapan
    mereka.

    Ketua Kampung Bangkoang, Pich Khin berkata festival itu bukan sahaja mengekalkan tradisi lama, malah mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan peralatan menangkap ikan secara haram.

    Tambahnya, kira-kira dua tan ikan berjaya ditangkap dalam acara tahun ini.

    “Hasil tangkapan ikan tahun ini kurang berbanding 2023, tetapi jumlah penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam festival ini lebih ramai berbanding tahun lepas,” katanya.

    “Di kawasan kami, kebanyakan ikan adalah ikan haruan, keli dan ikan hinggap,” katanya lagi.

    Ikan merupakan sumber protein utama bagi penduduk di negara itu. Menurut kementerian pertanian, perhutanan dan perikanan, penduduk Kemboja makan purata 52.4 kilogram ikan setiap orang setahun. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...