Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival muzik BJF di Miri pada 31 Okt

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Hubungan kukuh antara Sarawak dan Brunei Darussalam dalam bidang kebudayaan dan pelancongan terus dipertingkatkan melalui Festival Jazz Borneo (BJF) 2025, yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB).
     
    Kerjasama berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan-ke-kerajaan (G2G) bagi memperkukuh hubungan rentas sempadan, meningkatkan aliran pelancongan serta menempatkan Bandaraya Miri sebagai destinasi utama muzik jazz bagi warga Brunei.
     
    Dalam ucapan semasa sidang media BJF 2025 yang diadakan di Pejabat STATOB, Pavo Point, Bandar Seri Begawan, Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang menzahirkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini bin Atan yang turut hadir semasa sidang media itu.
     
    Adam Yii dalam ucapan berkata, “BJF telah berkembang menjadi antara festival muzik yang paling dinanti-nantikan di rantau ini. Ia bukan sekadar pementasan persembahan bertaraf dunia, tetapi sambutan yang meraikan persahabatan, budaya dan komuniti. 
     
    “Setiap tahun, festival ini menjadi platform istimewa yang menghimpunkan artis antarabangsa, bakat tempatan serta penonton dari seluruh dunia untuk menikmati muzik dan mengeratkan silaturahim,” jelas beliau.
     
    Gambar ramai semasa sidang media BJF 2025. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Menurutnya, festival edisi ke-19 itu akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 2 November di Eastwood Valley Golf dan Country Club, Miri, dengan persembahan barisan artis tersohor seperti Aina Abdul, Aisha Retno, Amsyar Lee, Aruel Ariel dan Fasola, Pop n Bop dari Malaysia, Nona Ria dari Indonesia, Tabitha King dari Amerika Syarikat, On The Rug serta Ruiwen Yang dan Kwangyong Kim Trio dari Korea Selatan, selain kumpulan tempatan Miri, The Echoes.
     
    Turut memeriahkan pembukaan festival ialah persembahan oleh Sada Borneo dan Dion Das.
     
    Adam Yii turut menambah kemunculan Jaz Hayat, artis popular dari Brunei, pada malam kedua akan menjadi detik yang membanggakan untuk Miri dan Brunei Darussalam.
     
    “Festival tahun ini turut menampilkan dua pengacara istimewa, Kim Goodburn, Mister International 2023 dan Melisha Lin, pemenang tempat keenam Miss Grand International 2024  yang akan menyerikan pentas utama BJF 2025,” ujar beliau.
     
    Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan warga Brunei, pihak penganjur menawarkan diskaun eksklusif sebanyak 20 peratus bagi pembelian tiket oleh rakyat Brunei sehingga 6 Oktober jam 11:59 malam.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda