Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Festival perahu kembali meriah di Myanmar

    NYAUNGSHWE, MYANMAR – Ribuan penganut Buddha menaiki bot di Tasik Inle yang terkenal di Myanmar pada Khamis untuk meraikan kembalinya salah satu festival terbesar negara itu, tetapi kegembiraan penganut itu diwarnai dengan kesedihan perang.

    Festival pagoda Phaung Daw Oo yang berlangsung selama 17 hari menyaksikan empat imej Buddha diletakkan di atas tongkang emas dan mendayung melalui perkampungan yang bertaburan di pantai kawasan tumpuan pelancong di timur negeri Shan.

    Pandemik koronavirus dan seterusnya rampasan kuasa tentera pada 2021 membatalkan tiga edisi festival sebelumnya, menafikan peluang penduduk tempatan untuk mengunjungi tempat ibadah mereka.

    Pada pagi Khamis, tongkang emas itu belayar melalui air yang sejuk, ditunda oleh bot panjang kayu anggun yang dikendalikan oleh lelaki yang mendayung dalam gaya tempatan – kaki membelit dayung mereka untuk mendapatkan lebih banyak dorongan.

    Berpuluh-puluh bot yang dipenuhi penganut menyertainya ketika matahari terbit, bunyi gendang dan simbal mengiringi flotila.

    Penduduk etnik Inntha menyaksikan perlumbaan perahu panjang semasa festival pagoda di selatan Negeri Shan, Myanmar. – AP
    Penduduk tempatan menyaksikan festival perlumbaan perahu. – AFP
    Penduduk tempatan menyaksikan festival perlumbaan perahu. – AP
    Lelaki berlatih mendayung menggunakan kaki semasa perlumbaan bot sempena festival pagoda Phaung Daw Oo di Tasik Inle. – AP
    Gambar AFP
    Penduduk tempatan menyaksikan festival perlumbaan perahu. – AP
    Penduduk tempatan menyaksikan festival perlumbaan perahu. – AP

    Tempat festival berlangsung ialah Tasik Inle di selatan negeri Shan, kira-kira 420 kilometer dari timur laut Yangon.

    Inle, tasik air tawar kedua terbesar di negara itu dan tarikan pelancong yang popular sepanjang tahun, terkenal dengan nelayan dari etnik minoriti Intha yang mengamalkan gaya mendayung yang unik sambil berdiri dengan sebelah kaki dibelit pada satu dayung.

    Kemahiran mereka dipamerkan sepenuhnya semasa festival pagoda tahunan Phaung Daw Oo, yang berlangsung hampir tiga minggu.

    Para nelayan mendayung perahu mereka untuk menarik tongkang Karaweik, sebuah kapal berhias dengan imej emas burung mitos di haluannya yang membawa empat patung Buddha untuk melawat 21 kampung di sekitar tasik supaya orang ramai dapat memberi penghormatan kepadanya.

    Perayaan itu juga termasuk perlumbaan bot mendayung kaki dengan setiap bot membawa 40-100 pendayung.

    Beratus-ratus penduduk tempatan pada Khamis memerhatikan aktiviti dari lancang kecil di tasik, dan lebih ramai lagi dari darat.

    Festival itu disambut walaupun konflik bersenjata di seluruh Myanmar, ketika tentera berusaha untuk menumpaskan penentangan terhadap pengambilalihan kuasa pada Februari 2021 yang menggu-lingkan kerajaan Aung San Suu Kyi.

    Beribu-ribu orang telah mati dalam konflik dan lebih sejuta kehilangan tempat tinggal akibat serangan tentera.

    “Kami berseronok di sini tetapi di seberang (di luar Tasik Inle) situasi adalah tidak baik,” kata pelajar Phuu Pyae Thwe kepada AFP di tasik itu.

    “Kami berasa sedih kerana keadaan mereka. Kami juga bimbang apa yang boleh berlaku dalam perjalanan,” tambah pelajar itu, seperti kemungkinan pertempuran bersenjata.

    “Kami ingin memohon maaf kepada awda semua. Kami sudah tiga tahun tidak mengadakan perayaan. Kami kesal dengan pertempuran di tempat lain.”

    Ketika mereka mendekati tongkang emas yang dihiasi dengan bendera Buddha, para penganut berdoa kepada empat imej di dalamnya.

    Imej Buddha kelima kekal di pagoda Phaung Daw Oo semasa perayaan itu warisan kemalangan beberapa dekad lalu apabila ia dijatuhkan ke dalam tasik daripada bot yang membawanya.

    Pelancong asing datang berduyun-duyun ke perairan Inle dan kawasan bukit selepas junta beralih kepada pemerintahan separa awam pada 2011 dan membuka negara Asia Tenggara itu.

    Tetapi ketibaan pengunjung sejak rampasan kuasa 2021 semakin merosot, yang telah menjejaskan ekonomi dan tidak membenarkan pelancong memasuki banyak kawasan di negara itu.

    Seorang pekerja di bandar Nyaungshwe berhampiran memberitahu AFP hotelnya telah kehilangan 80 peratus kakitangannya.

    “Banyak hotel ditutup kerana tiada tetamu tempatan atau asing,” kata mereka, yang enggan dikenali.

    Negeri Shan telah terlepas daripada tindakan keras tentera yang paling teruk yang dikatakan kumpulan pemantau tempatan telah membunuh lebih 4,100 orang dan menyaksikan puluhan ribu ditangkap.

    Namun pada Mac, kira-kira 30 orang yang berlindung daripada pertempuran di sebuah biara hanya beberapa jam dari Inle telah terbunuh, dengan junta dan pejuang anti-rampasan kuasa saling menyalahkan sesama sendiri atas pembunuhan beramai-ramai itu.
    Tentera berkata lebih 6,000 orang telah dibunuh oleh pejuang anti-rampasan kuasa.

    “Kami telah membuat persediaan sejak kami mendengar festival itu akan diadakan,” beritahu Than Nyunt, 75, kepada AFP.

    “Kami juga melakukan amalan baik untuk rakyat Myanmar yang turut menderita,” katanya.
    “Kami mendoakan mereka. Kami mendoakan agar mereka kembali ceria dan aman seperti di sini.”

    Di pantai, Htway Yi berkata dia ‘amat gembira’ kerana festival itu telah kembali.

    “Kami sedih kerana kami tidak melihat (patung Buddha) selama tiga tahun,” katanya kepada AFP.

    “Kami gembira sekarang, Saya mahu tasik itu sesak seperti dahulu.” – AFP/AP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...