Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam akan mengadakan Festival Kebudayaan Jepun 2023’ pada 21 dan 22 Oktober depan di Pusat Beli-belah Times Square.
Acara dua hari itu bertujuan untuk memperkenalkan budaya dan gaya hidup tradisional dan kontemporari Jepun, serta mempromosikan bahasa Jepun melalui persembahan pentas dan petak pameran.
Persembahan dan pertunjukan termasuk demonstrasi masakan makanan Jepun oleh Cef Fumihiro Shimizu yang merupakan chef duta, selain pertandingan melukis manga, pelbagai sesi perkongsian mengenai biasiswa MEXT, manga, anime JENESYS dan SSEAYP, demonstrasi seni mempertahankan diri, Kendama dan Yo-Splinter, serta persembahan oleh Nihongo Partners.
Petak pameran akan menampilkan pelbagai jenis permainan, makanan dan taklimat mengenai program biasiswa MEXT dan program pertukaran belia Jepun.
Di samping itu, kumpulan seni persembahan Jepun, Hibikiya juga akan membuat penampilan istimewa yang bakal memeriahkan festival dengan seni tradisional seperti taiko, persembahan ensembel dan tarian.


