Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival promosikan warisan budaya di Belait

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 2 JUN – Suasana di Taman Rekreasi Kampung Sungai Mau meriah dengan alunan muzik tradi-sional diiringi tarian kebudayaan semasa Festival Kebudayaan Daerah Belait 2024 yang selama dua hari hingga hari ini.

    Hadir merasmikan festival tersebut dengan pukulan gong ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann dalam ucapannya selaku pengerusi festival menjelaskan bahawa acara itu bertujuan membantu memberi peluang untuk mempromosi dan mempamerkan pelbagai budaya dan warisan tradisi yang boleh didapati di dalam dan luar daerah berkenaan.

    “Festival ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Sawat dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait bagi memperkenalkan budaya etnik yang terdapat di daerah ini kepada generasi muda,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, mereka berharap dengan mengadakan persembahan dan pameran berkenaan akan memberikan gambaran unik kepada generasi muda untuk memastikan budaya dan warisan nenek moyang yang telah diwarisi akan diteruskan.

    Tujuh persembahan kebudayaan yang unik telah diketengahkan dengan diketuai oleh setiap kumpulan etnik yang dijemput termasuk kumpulan jemputan Limbai Sadaman Puak Kedayan dari Belipat, Lawas Sarawak di samping kumpulan-kumpulan Puak Dusun, Puak Punan, Puak Belait, Daerah Warisan Pelangi Belait, Persatuan Kesatuan Zhong Zin Hakka Brunei, dan Mukun Selendang Sutera Brunei Darussalam.

    Sebanyak 26 gerai turut disediakan yang mengetengahkan ahli-ahli dari pelbagai MPK dari seluruh Daerah Belait yang menampilkan produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) serta perusahaan kecil dan sederhana dan usahawan tempatan yang menjual pelbagai produk, makanan dan minuman.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi melawat beberapa gerai yang mengambil bahagian. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    ATAS & BAWAH : Beberapa persembahan kebudayaan yang ditampilkan sebagai sebahagian daripada festival berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda