Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Seni Moden 15-18 Januari

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Korean Fine Arts Association buat julung-julung kalinya akan menganjurkan Festival Seni Moden 2018 pada 15 hingga 18 Januari ini di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel & Country Club.

    Dikendalikan oleh Sinar Tour Sdn Bhd dengan kerjasama Forum Kesenian Brunei (BAF), Creative Space Brunei dan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam, festival berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 102 artis seni lukis Korea.

    Ia merupakan satu peluang yang jarang berlaku di negara ini apabila menghimpunkan ramai artis ternama korea bersama karya seni mereka dalam satu acara.

    Antara artis seni lukis yang hadir pada festival berkenaan termasuklah Koo Jae-Seung, Kim Bo-Yeon dan Jin-Kwan Hui yang akan mempersembahkan karya seni kontemporari Korea.

    Perkara ini telah diumumkan dalam sidang media yang berlangsung di Creative Space Art Gallery & Studio, Sengkurong petang tadi.

    Presiden BAF dan Pengurus Besar Sinar Tour Sdn Bhd ketika sidang akhbar yang diadakan di Creative Space Art Gallery & Studio, petang tadi.

    Dijangka hadir merasmikan acara itu nanti ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Majlis perasmiannya itu nanti juga akan menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara BAF dan Korean Fine Arts Association dalam kolaborasi pertukaran antara kedua-dua belah pihak.

    MoU berkenaan meliputi persetujuan kedua-dua belah pihak dalam usaha untuk menambah lagi pertukaran hasil karya antara Korea dan Brunei pada masa akan datang seperti dengan mengadakan pameran-pameran kesenian sama ada di Korea atau Brunei.

    Pada sidang akhbar itu, Pengurus Besar Sinar Tour Sdn Bhd, Nick Shon memberitahu bahawa pihaknya dan artis-artis yang terlibat telah mengambil masa lebih kurang lima bulan bagi mencapai kesepakatan untuk menjayakan festival berkenaan 2018.

    Dalam pada itu, Presiden BAF, Dato Paduka Shofry bin Abdul Ghafor menyeru orang ramai untuk tidak melepaskan peluang dan sama-sama hadir bagi melihat sendiri karya-karya yang dihasilkan oleh artis-artis seni lukis dari Korea.

    Menurut beliau, sambutan penyertaan artis seni lukis Korea untuk menyertai pameran kali ini ternyata melebihi daripada jangkaan pihak penganjur sehinggakan beberapa orang artis seni lukis yang terlibat terpaksa menggunakan penerbangan dari negara jiran untuk hadir menyertainya.

    Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan hadir bagi menyaksikan pameran seni berkenaan yang dibuka dari jam 5 petang hingga 9 malam pada hari pembukaan, 9 pagi hingga 9 malam pada 16 hingga 18 Januari nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda