Festival Sungai Kampar 5 Julai depan

IPOH, 12 JUN – Pelbagai program dan aktiviti menarik disediakan sepanjang Festival Sungai Kampar 2019 yang akan diadakan di Sungai Kampar dekat Kampar pada 5 hingga 7 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata antara program dan aktiviti disediakan termasuk aktiviti sukan air seperti berkayak, berakit dan ‘tubing race’ selain pelbagai acara sukan rakyat turut dipertandingkan serta pelbagai aktiviti kebudayaan, seni dan warisan diadakan.

Katanya festival yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Radak Adventure dengan kerjasama kerajaan negeri sebagai penaja dan turut membabitkan penyertaan peserta antarabangsa seperti dari Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Perancis, Mongolia dan Greece dalam pelbagai aktiviti yang disediakan

“Kita turut mengambil kira aspek keselamatan bagi aktiviti sukan air kerana kita tidak mahu kejadian tidak diingini seperti kehilangan Mohammad Ashraf Hassan (peserta larian Gopeng Ultra Trail 2019) berlaku sebelum ini.

“Setiap jajaran sungai sepanjang aktiviti itu berlangsung akan disediakan ‘sistem rakan’ selain anggota agensi penyelamat seperti polis dan bomba turut ditempatkan sepanjang aktiviti itu diadakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. – Bernama