Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Tagang promosi keunikan budaya Sarawak

    Oleh Robert Kenneth Anak Henry

     

    KUCHING – Melihat kemeriahan Festival Tagang Antarabangsa Semadang yang berlangsung baru-baru ini, pasti tiada yang menyangka bahawa festival itu adalah suatu acara peringkat kampung ketika diperkenalkan empat tahun lalu.

    Acara tahunan itu, yang diadakan di Kampung Semadang, Jalan Puncak Borneo, 40 kilometer dari sini, dahulunya dikenali sebagai Festival Tagang Semadang dan hanya disertai penduduk kampung berkenaan serta masyarakat sekitar Sungai Semadang pada penganjuran pertamanya.

    Saban tahun, bilangan peserta dan pengunjung semakin bertambah malah berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung termasuk peserta ketika diadakan pada 31 Ogos hingga 2 September baru-baru ini.

    Ternyata, kegigihan penduduk kampung berusaha menganjurkan festival itu setiap tahun, sejak 2015 dengan peruntukan hanya RM3,000 sangat berbaloi.

    Berikutan kejayaan penganjurannya baru-baru ini, Menteri Muda Pengangkutan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 akan disuntik untuk panganjuran edisi kelima pada tahun depan.

    Memancing merupakan antara aktiviti yang dilakukan semasa Festival Tagang. – Bernama
    Festival Tagang juga berupaya mempromosikan keindahan Sarawak sebagai destinasi pelancongan menarik. – Agensi

    Jerip yang berucap pada edisi keempat Festival Tagang Antarabangsa Semadang itu berharap dengan peruntukan yang lebih besar itu, lebih banyak aktiviti dapat diadakan bagi memeriahkan festival berkenaan.

    Produk pelancongan 

    Pada awal penganjuran, hanya pertandingan memancing dan ‘live band’ yang mengisi acara manakala pertandingan ratu cantik dimasukkan sebagai salah satu acara ketika edisi kedua pada 2016.

    Kemudian berkayak, pertandingan tarian kedudayaan dan permainan alat muzik tradisional serta street soccer juga dijadikan acara festival.

    Jerip meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Semadang, Jawatankuasa Sistem Tagang Kampung Semadang dan Jabatan Pertanian Negeri Sarawak supaya terus bekerjasama menganjurkan festival berkenaan.

    Jerip berkata, festival yang telah menjadi produk pelancongan negeri ini, khususnya bagi kawasan Puncak Borneo mampu menarik bukan sahaja pelawat dari kawasan berdekatan tetapi juga pelancong asing termasuk yang datang sebagai peserta.

    Festival tiga hari itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan memancing,  pertandingan ratu cantik Miss Tagang International, tarian kebudayaan dan pertandingan permainan alat muzik tradisional, pertandingan memasak, street soccer, tarian zumba, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan banyak lagi.

    “Pesta itu berjaya menimbulkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai pentingnya mempunyai sungai yang bersih dengan pelaksanaan sistem tagang di Sungai Semadang sejak tahun 2007,” katanya yang yakin bahawa festival tahun depan akan menarik lebih ramai pengunjung.

    Bahasa Bidayuh

    Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Ik Pahon Joyik ketika merasmikan pertandingan tarian kebudayaan dan permainan alat muzik tradisional sempena festival itu mencadangkan supaya pameran dan jualan hasil pertanian iaitu mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) turut diadakan sempena festival itu tahun depan.

    Sehubungan itu, beliau meminta supaya Jabatan Pertanian Bahagian Kuching bekerjasama dengan jawatan kuasa festival bagi menyelaraskan acara mini MAHA itu kelak.

    Katanya, menerusi aktiviti pameran dan jualan itu para petani boleh menjual hasil pertanian mereka, di samping orang ramai pula berpeluang mendapatkan tunjuk ajar mengenai kaedah-kaedah pertanian moden, yang berdaya mengeluarkan hasil lumayan.

    Kaum Bidayuh terus berusaha untuk memelihara adat resam, tradisi, bahasa dan keunikan budaya mereka tersendiri. – Bernama

    Ik Pahon yang juga presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) yakin langkah menjadikan pertandingan tarian kebudayaan dan permainan alat muzik tradisional sebagai salah satu acara festival dapat mempromosi kedua-dua cabang kebudayaan itu di samping memelihara budaya dan adat resam kaum berkenaan.

    Sehubungan itu, beliau menyeru kaum Bidayuh agar sentiasa memelihara adat resam termasuk memastikan anak cucu mereka pandai bertutur dalam Bahasa Bidayuh.

    Ik Pahon juga menegaskan agar festival itu terus diadakan di masa depan kerana ia merupakan program yang berkesan untuk memupuk kesedaran orang ramai mengenai perlunya pemeliharaan ikan di sungai menerusi program sistem tagang.

    Sistem Tagang

    Sistem Tagang yang bermaksud pengawalan dan pemuliharaan diperkenalkan dengan tujuan menimbulkan kesedaran mengenai pemuliharaan dan komitmen masyarakat setempat ke arah meningkatkan pengeluaran ikan sungai untuk makanan serta menggalakkan ekopelancongan.

    Selain itu, ia juga untuk mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam menghalang, mengawal dan mengurangkan pencemaran sungai demi memelihara persekitaran semulajadi.

    Sistem tagang diperkenalkan di sepanjang Sungai Semadang di bahagian hulu Sungai Sarawak Kiri sejak 2007.

    Sejak itu, penduduk Kampung Semadang bertanggungjawab menjaga sungai berkenaan daripada diceroboh atau diganggu sekali gus melindungi ikan-ikan yang dipelihara agar terus membesar dan membiak dengan baik.

    Ketua Kampung Semadang, Samson Mangang pula berkata, “Festival ini telah memberi manfaat kepada penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam bazar makanan.”

    Lebih daripada 40 gerai menjual makanan, minuman, kraftangan dan hasil hutan di festival itu yang merupakan produk pelancongan yang dianjurkan untuk memperkenalkan kampung itu dan mempromosikan produk pelancongannya agar dapat menarik lebih ramai pengunjung ke situ.

    Antara peserta tahun ini termasuk dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Korea Selatan, China, Indonesia, Vietnam, Mauritius, Australia, Jerman, Kemboja, Myanmar, Jepun termasuk pelajar universiti.

    Selain majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pelbagai pertandingan termasuk memancing, tarian kebudayaan dan permainan alat muzik tradisional, ratu cantik Miss Tagang dan pertandingan memasak, Jerip turut melepaskan 50,000 ekor udang galah dan 30,000 ikan tengadak di empat lokasi di sepanjang Sungai Semadang, iaitu di tebingan Kampung Semadang, Kampung Danu, Kampung Giam dan Kampung Git. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda