Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Buat julung kalinya, Festival Laksa Malaysia diadakan di negara ini selama dua hari bermula esok di Rizqun Coffee House.
Festival anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia dengan kerjasama Hotel Antarabangsa Rizqun dan Tourism Malaysia di Brunei Darussalam itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada melalui masakan laksa.
Perasmian festival berkenaan telah diadakan hari ini yang dihadiri oleh isteri Gabenor Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M.Jasni selaku tetamu kehormat.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato Raja Reza bin Raja Zaib Shah dalam ucapannya berkata, melalui festival ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia berhasrat dapat memperkenalkan lebih mendalam kepada rakyat Brunei tentang kepelbagaian laksa Malaysia.
Tuan Yang Terutama juga berkata, di Malaysia, peminat makanan telah lama berdebat tentang negeri mana di Malaysia memiliki laksa terbaik.
Sehubungan itu, ada beberapa fakta menarik tentang laksa, di mana terdapat lebih 20 jenis laksa telah diciptakan di Malaysia dengan nama yang unik seperti laksa sarang burung atau laksa ikan sekoq.
Sehingga ke hari ini, laksa sudah pun terkenal hampir ke serata dunia, di mana di Australia, Pesta Laksa Antarabangsa Darwin diadakan setiap tahun dengan sambutan yang sangat baik dan hampir setiap negara mempunyai laksa versi mereka sendiri dengan rasa dan tekstur juga berbeza berkrim dengan santan manakala yang lain lebih pedas, segar dan juga masam.
Khas untuk hari ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Rizqun menawarkan laksa asli Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan yang dimasak sendiri oleh lima orang tukang masak Malaysia.
Majlis diteruskan lagi dengan para tukang masak membuat demonstrasi memasak laksa Sarawak dan Kelantan secara langsung.